Penghantaran 6 helikopter MD-530G dijangka pada suku pertama 2022

Ikmal Hisham ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Ikmal Hisham ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penghantaran bagi perolehan enam helikopter jenis MD-530G sebagai aset untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka dilaksana pada suku pertama 2022, Dewan Rakyat diberitahu pada Khamis.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kesemua helikopter buatan McDonnell Douglas berkenaan diterima selepas memenuhi spesifikasi ditetapkan melalui pemeriksaan prapenghantaran (PDI) yang dijalankan wakil daripada kementerian itu, awal bulan ini.

Beliau berkata, pada proses PDI kali pertama sebelum dihantar ke premis OEM di Arizona, Amerika Syarikat pada Julai lepas, pasukan PDI menemui beberapa perkara yang memerlukan pihak syarikat menambah baik sistem pengisian helikopter itu.

“Kementerian Pertahanan mengakui kelewatan perolehan itu dan telah mengambil langkah tegas serta sewajarnya bagi memastikan ATM menerima aset ini secepat mungkin, malah pengiraan jumlah tuntutan denda lewat harus dikenakan atas kelewatan ini.

“Bagaimanapun, jumlah denda ini akan ditentukan selepas proses penerimaan helikopter MD-530G ini selesai dilaksanakan,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022) peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu pada Khamis.

Pada sesi perbahasan, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) sebelum itu membangkitkan isu kelewatan perolehan aset pertahanan itu.

Rang undang-undang itu yang memperuntukkan sejumlah RM11,105,479,300 kepada Kementerian Pertahanan dalam Bajet 2022 diluluskan setelah dibahaskan 20 Ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang serta Bebas. - Bernama

Artikel Berkaitan: