MAHF akan berunding dengan KBS selesaikan isu penggantungan

Pandak menunjukkan salah satu poster kejohanan bola baling tempatan yang akan diadakan pada 20 Disember depan.
Pandak menunjukkan salah satu poster kejohanan bola baling tempatan yang akan diadakan pada 20 Disember depan.
A
A
A

PERSEKUTUAN Bola Baling Malaysia (MAHF) akan melakukan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung isu penggantungan dialami persatuan itu sehingga kini.

Presidennya, Pandak Ahmad berkata, rundingan itu bagi membolehkan pihaknya menyatakan masalah sebenar selepas persatuan digantung oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhubung isu hutang di Sukan Asia Palembang, Jakarta 2018.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan persatuan hanya akan bebas daripada penggantungan sekiranya mampu menjelaskan hutang dengan nilai keseluruhan sebanyak RM133,000.

"Penggantungan ini dikenakan sebelum saya mengambil alih semula jawatan presiden MAHF pada Mac tahun lalu. Mengikut syarat yang dipersetujui dengan MOM, mereka meminta kita bayar RM10,000 sebulan.

“Jadi kita akan cuba berbincang dengan Menteri (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) kerana beliau ada kuasa eksekutifnya. Dalam keadaan pandemik ini agak sukar untuk kita penuhi permintaan itu (bayaran RM10,000),” katanya pada sidang akhbar di sini pada Khamis.

Pandak berkata, penyelesaian berhubung isu penggantungan itu juga perlu diselesaikan dengan segera kerana MAHF sehingga kini tidak dapat menghantar pasukan untuk bertanding pada mana-mana kejohanan antarabangsa.

“Perkara ini menyukarkan kita untuk mara ke tahap lebih tinggi, kita juga tidak bertanding pada kelayakan Piala Asia di Arab Saudi dan tidak dapat memenuhi jemputan ke Kongres Dunia dan Asia Kesatuan Bola Baling Antarabangsa (IHF) di Turki pada awal tahun.

“Malah, penggantungan ini juga saya lihat membawa impak besar kepada kedudukan ranking pasukan memandangkan kini kita berada di kedudukan kedua diperingkat Asia Tenggara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, MAHF juga akan mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri Johor bagi mengadakan pelbagai kejohanan tempatan selain kejohanan jemputan antarabangsa membabitkan negara-negara Asia Tenggara pada tahun depan.

"Pertandingan jemputan antarabangsa itu diadakan sempena Tahun Melawat Johor yang akan diadakan di Educity, Iskandar Puteri.

"Perbincangan lanjut mengenainya akan diputuskan selepas berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai penganjuran pertandingan itu," katanya.