Maritim tahan dua kapal tunda beroperasi tanpa kebenaran

Dua kapal tunda dari Indonesia ditahan ketika menunda sebuah kapal tanki di perairan Tanjung Langsat di sini pada Rabu
Dua kapal tunda dari Indonesia ditahan ketika menunda sebuah kapal tanki di perairan Tanjung Langsat di sini pada Rabu
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor menahan dua kapal tunda yang dipercayai menjalankan operasi tanpa kebenaran di perairan negeri ini pada Rabu.

Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, dua kapal tunda itu ditahan kira-kira jam 6 petang di kedudukan 0.7 batu nautika perairan tenggara Tanjung Langsat di sini.

“Menerusi rondaan dilakukan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili, kita telah berjaya menahan dua kapal tunda yang ketika itu sedang menunda sebuah kapal tangki.

“Kedua-dua bot berdaftar dari Batam, Indonesia itu dikendalikan 13 anak kapal warga Indonesia berusia antara 25 hingga 47 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda bagi kedua-dua kapal tunda itu juga tidak memaklumkan ketibaan dan mempunyai kebenaran untuk menunda kapal daripada Pengarah Laut Malaysia.

“Kesemua kru berserta dua bot tunda terbabit telah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kesalahan ini juga boleh memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” jelasnya.

Beliau berkata, pemantauan di setiap sudut perairan negara sentiasa dilakukan selain memohon kepada pemain maritim untuk sentiasa mematuhi undang-undang yang diperuntukkan.

Artikel Berkaitan:

“Kami harap pengguna laluan laut dan setiap kapal asing yang ingin memasuki perairan negara untuk sentiasa melaporkan ketibaan serta mendapatkan kebenaran sekiranya mahu menjalankan sebarang aktiviti,” katanya.