Bajet Perak 2022: AMK kemuka 11 tuntutan

Mohamad Hairul Amir
Mohamad Hairul Amir
A
A
A

IPOH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak mengemukakan 11 tuntutan menjelang pembentangan Bajet Negeri 2022 pada 10 Disember ini.

Ketuanya, Mohamad Hairul Amir Sabri berkata, tuntutan pertama adalah membuka peluang kepada anak muda dalam bidang pertanian berasaskan makanan dengan pembukaan tanah-tanah pertanian.

Menurutnya, selain itu belanjawan juga perlu memperkasakan semula sektor pelancongan di dalam negeri dengan promosi pakej atau baucar untuk anak Perak dan menyediakan geran baik pulih fasiliti pelancongan.

"Kita juga meminta kerajaan memberikan diskaun 50 peratus lesen perniagaan kepada peniaga dan memberi kelonggaran syarat pinjaman mikro kredit kepada usahawan.

"Kerajaan negeri juga perlu memberikan kit kesihatan kepada semua keluarga B40 selain skim bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan ketua keluarga akibat Covid-19," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohamad Hairul Amir berkata, kerajaan negeri juga digesa untuk mewujudkan industri hiliran yang dapat meningkatkan pendapatan negeri selain membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.

Katanya, latihan dan rangsangan kredit juga perlu diberikan kepada anak muda untuk mencari pekerjaan melalui platform secara dalam talian.

Beliau berkata, pemerkasaan latihan pendidikan kemahiran dan vokasional (TVET) kepada anak muda di luar bandar juga perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga perlu memberikan bantuan dan menyediakan platform kepada anak muda yang terlibat dalam industri seni kreatif.

"Dalam masa sama, pembangunan semula taman-taman rekreasi dan aset sukan sedia ada perlu dilakukan mengikut keperluan setempat," katanya.

Beliau berharap agar kesemua tuntutan tersebut dapat dipertimbangkan kerajaan negeri dalam Bajet Perak 2022.