Masa depan Sarawak di tangan rakyat

Petugas Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alyssa Mona menunjukkan buku manifesto GPS yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan Presiden GPS disini hari ini.- Foto Bernama
Petugas Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alyssa Mona menunjukkan buku manifesto GPS yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga merupakan Presiden GPS disini hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Masa depan Sarawak terletak di tangan orang Sarawak, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengingatkan rakyat supaya memberikan sokongan kepada GPS pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

"Hanya rakyat Sarawak sahaja yang dapat membangunkan negeri ini dan hanya kita yang dapat memastikan kemakmuran dapat dinikmati oleh orang Sarawak kerana kita bangunkan Sarawak dengan acuan sendiri.

“Disebabkan itu, janganlah kita menggadaikan masa hadapan dengan memilih parti yang bukan sahaja gagal menunaikan janji dan menipu rakyat, bahkan bersekongkol dengan mereka yang gagal memimpin negara,” katanya ketika berucap sempena pelancaran Manifesto GPS di Borneo Convention Center Kuching (BCCK), di sini, malam Rabu.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat Sarawak supaya memilih kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab dalam memastikan kesinambungan pembangunan di negeri tersebut.

Kata Abang Johari, GPS meletakkan asas pembangunan yang strategik untuk memastikan kemajuan berterusan dan pelaksanaan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.

"Bagaimanapun, usaha membangunkan Sarawak ini hanya akan dapat direalisasikan sekiranya GPS terus diberi mandat untuk menerajui kepimpinan negeri ini melalui PRN nanti.

“Kepimpinan GPS yang berpengalaman, berwibawa, mempunyai integriti yang tinggi dan rekod pencapaian cemerlang akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“GPS perlukan sokongan padu rakyat Sarawak. Sokong dan undilah GPS untuk Sarawak yang Stabil, Makmur dan Gemilang, demi menjadikan Sarawak Maju Menjelang 2030,” katanya.

Katanya, manifesto yang dilancarkan sangat komprehensif dengan memperjuangkan hak Sarawak sekali gus menjamin hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan masa hapadan negeri itu.

Menerusi mandat penuh daripada rakyat Sarawak untuk tempoh lima tahun lagi, Abang Johari berkata, GPS berjanji terus melaksanakan lebih banyak inisiatif bagi meningkatkan kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan dan kegemilangan demi rakyat Sarawak.

GPS ditubuhkan pada 12 Jun 2018 susulan daripada krisis kepimpinan di peringkat Persekutuan pada tahun tersebut.

Selain itu, GPS menggabungkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) merupakan parti politik anak Sarawak yang unggul mewakili semua lapisan masyarakat di Sarawak.

Ikuti perkembangan semasa #PRNSarawak dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my