X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Bajet 2022 perkasa usahawan wanita

A
A

Memperuntukkan lebih RM241 juta seiring peranan kaum hawa yang menjadi tunjang kekuatan negara dan keluarga

SHAH ALAM - Kerajaan memberi tumpuan untuk terus memperkasa wanita dari sudut keusahawanan menerusi peruntukan berjumlah RM241.25 juta yang disalurkan kepada golongan itu menerusi Bajet 2022.

Peruntukan yang akan disalurkan Kementerian Kewangan (MOF) seiring dengan peranan besar kaum hawa yang menjadi tunjang kekuatan negara dan keluarga, terutama semasa negara masih lagi berdepan dengan krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.

Daripada jumlah itu, peruntukan terbesar sebanyak RM230 juta, akan disalurkan untuk pembiayaan usahawan wanita melalui beberapa institusi kewangan dan institusi pembangunan usahawan terpilih.

Pembiayaan itu dibuat menerusi Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank serta menerusi Program DANANITA di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan TEKUNITA melalui TEKUN Nasional.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober lalu berkata, usaha itu bagi membantu usahawan wanita yang turut terkesan akibat Covid-19, serta sebagai langkah meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

"Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi, termasuk latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan," jelasnya.

Kata beliau lagi, kerajaan juga akan melaksanakan Program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

Sejumlah RM6.25 juta diperuntukkan kerajaan untuk tujuan itu, merangkumi penyediaan bantuan asas modal perniagaan, bimbingan dan latihan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian, melibatkan 5,000 peserta termasuk 2,000 ibu tunggal.

Menurut Tengku Zafrul, kesemua peruntukan itu disediakan kerajaan bagi memastikan kaum wanita dapat memenuhi potensi mereka dalam menyumbang kepada kesejahteraan Malaysia secara bersama.

Inisiatif Wanita [email protected]

Bajet yang disediakan oleh kerajaan itu juga menyokong pelbagai inisiatif membangunkan usahawan wanita yang dilaksanakan oleh kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Inisiatif Wanita [email protected]

DR ZURINA
DR ZURINA

Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) KPWKM, Dr Zurina Abdul Hamid berkata, Inisiatif Wanita [email protected] dilancarkan sejak 1 September lalu ekoran situasi pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar kepada kehidupan masyarakat, termasuk golongan wanita dalam pelbagai aspek, terutama penjanaan pendapatan.

"Ramai yang terputus pendapatan, sama ada dalam sektor formal mahu pun informal, dan terpaksa mencari pelbagai alternatif bagi meneruskan kehidupan.

"Oleh itu, pelaksanaan Inisiatif Wanita Bangkit diharapkan dapat membantu wanita mencari jalan keluar daripada keadaan sukar dan kesempitan yang dihadapi serta bangkit untuk membina semula kehidupan yang lebih baik dengan membantu diri sendiri serta keluarga untuk meningkatkan taraf ekonomi," tambahnya.

Katanya, inisiatif itu memberi fokus kepada aktiviti penjanaan pendapatan melalui sektor formal iaitu dengan menghubungkan peluang pekerjaan kepada wanita, selain sektor informal yang juga mendekatkan wanita kepada platform dan peluang perniagaan atau keusahawanan.

"Inisiatif ini memberi manfaat kepada wanita, terutamanya golongan suri rumah B40 dan M40, dan wanita yang menjadi ketua isi rumah termasuk ibu tunggal, selain memberi peluang kepada wanita yang berhasrat membantu keluarga mencari pendapatan lebih," kata beliau lagi.

Bagi menjayakan inisiatif tersebut, beberapa jaringan kerjasama dijalankan oleh pihak kementerian dengan pelbagai agensi dan syarikat swasta dalam menghubungkan dan menyediakan peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan melalui pekerjaan mahu pun keusahawanan.

Agensi dan syarikat-syarikat berkenaan meliputi agensi di bawah KPWKM seperti JPW, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (seperti TalentCorp dan Perkeso), badan amanah persendirian (Amanah Ikhtiar Malaysia) serta syarikat-syarikat seperti RichWorks Sdn Bhd dan HEYHO Sdn Bhd.

Memperincikan tentang kaedah pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi sektor informal, Zurina menjelaskan, ia akan menghubungkan wanita kepada platform dan peluang perniagaan dan keusahawanan, sama ada melalui agensi kerajaan, swasta atau pihak industri, dengan wanita berpeluang menjadi pemilik perniagaan sendiri, menjadi ejen, stokis mahu pun ejen 'dropship'.

Apa yang membanggakan, katanya, seramai 4,483 wanita berjaya menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan dalam tempoh 84 hari selepas dilancarkan.

Jumlah itu melepasi sasaran KPWKM kerana pada peringkat awal mereka menyasarkan seramai 2,000 wanita akan mendapat manfaat daripada inisiatif terbabit dalam tempoh 100 hari.

Pembiayaan berkumpulan dan individu

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani menjelaskan TEKUN Nasional akan menyalurkan dana yang diperoleh melalui Bajet 2022 menerusi Skim Pembiayaan TEKUNITA berkonsepkan pembiayaan yang terbuka kepada wanita secara berkumpulan dan individu.

ADAM
ADAM

"Dari segi berkumpulan, pembiayaan TEKUNITA ini menekankan tanggungjawab bersama ahli kumpulan sebagai jaminan sosial (peer pressure as social collateral) bagi memastikan anggota berkenaan menggunakan pembiayaan untuk tujuan dipohon serta bayaran balik pembiayaan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Untuk tujuan itu, TEKUN Nasional akan bekerjasama dengan KPWKM, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan wanita,” katanya.

Beliau berkata, pembiayaan secara individu pula disasarkan kepada golongan asnaf dan akan dilaksanakan menerusi Majlis Agama Islam Negeri bagi mendapatkan maklumat atau data golongan wanita yang dikategorikan sebagai penerima asnaf.

Ujarnya, pegawai TEKUN di peringkat negeri serta cawangan turut membuat hebahan berkaitan maklumat pembiayaan yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional.

Maklumat lanjut tentang pembiayaan perniagaan yang ditawarkan oleh TEKUN Nasional sentiasa dikemas kini di laman sesawang TEKUN Nasional di www.tekun.gov.my dan di media sosial TEKUN Nasional @tekunasional.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1998, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM3.24 billion kepada 364,088 usahawan wanita bagi membantu golongan itu memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka.

UMMU SYAFRAWA
UMMU SYAFRAWA

Dalam pada itu, usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Ummu Syafrawa Hasnan, 27, berkata, peruntukan kerajaan kepada usahawan wanita dalam Bajet 2022 itu memberi peluang kepadanya untuk terus mendapatkan pembiayaan bagi memajukan perniagaannya dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.

"Saya sebelum ini pernah dapat bantuan dana daripada TEKUN Nasional sebanyak RM5,000 dan proses permohonannya sangat mudah serta sangat membantu usahawan muda seperti saya.

"Jadi dengan peruntukan berterusan diberikan kerajaan pada tahun depan, saya akan mohon lagi bantuan pembiayaan itu sebab saya rancang nak buka kedai untuk memasarkan produk kecantikan dan makanan kerana sebelum ini saya hanya fokus jual secara dalam talian di rumah," katanya.

FARISYA NABILA
FARISYA NABILA

Menurut seorang lagi usahawan PKS, Farishya Nabila Mohd Zahari, 25, bantuan yang diberikan kerajaan kepada usahawan wanita dapat digunakan sebagai modal pusingan.

"Saya juga bersyukur dengan pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) sebelum ini yang banyak membantu peniaga kecil tapi dengan peruntukan lebih besar kepada usahawan dalam Bajet 2022, bantuan lebih menyeluruh," katanya.

Menurutnya, latihan dan bimbingan yang akan diberikan membuka peluang untuk menambah kemahiran dan meningkatkan mutu pemasaran agar jualan produk losyennya dapat ditingkatkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!