Hukuman penjara Presiden Myanmar dan Suu Kyi dikurangkan

Aung San Suu Kyi - Foto fail Reuters
Aung San Suu Kyi - Foto fail Reuters
A
A
A

YANGON - Hukuman empat tahun penjara terhadap Presiden Myanmar, U Win Myint dan Kaunselor Negara, Aung San Suu Kyi dikurangkan kepada dua tahun di bawah Seksyen 401 (1) Kanun Tatacara Jenayah, lapor Xinhua memetik laporan media pada Isnin.

Menurut laporan itu, U Win Myint dan Aung San Suu Kyi akan terus ditahan di lokasi yang dirahsiakan.

Pada pagi Isnin, U Win Myint dan Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas tuduhan menghasut di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan melanggar undang-undang pengurusan bencana alam negara.

Selepas mereka ditahan pada 1 Februari bersama pegawai parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang lain, pentadbiran negara Myanmar berpindah kepada Panglima Angkatan Tentera Jeneral Kanan, Aung Hlaing selepas darurat diisytiharkan.

Sejak ditahan, Aung San Suu Kyi dituduh melakukan 11 kesalahan, antaranya melanggar Akta Rahsia Rasmi, manakala U Win Myint menghadapi dua pertuduhan menghasut dan melanggar undang-undang pengurusan bencana alam.

Lebih banyak perbicaraan terhadap Aung San Suu Kyi akan menyusul.

Tentera mendakwa berlaku penipuan pengundian dalam pilihan raya umum November 2020 di negara itu, yang menyaksikan NLD memenangi majoriti kerusi di kedua-dua dewan parlimen.

Parti NLD memenangi majoriti kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum pada 8 November 2015 dan telah mentadbir sejak 2016. Penggal lima tahun kerajaan NLD berakhir pada Mac 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: