X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Tiada perubahan, keputusan rayuan kes SRC babit Najib esok

Najib - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - "Esok, tetap esok, belum ada sebarang petunjuk untuk keputusan esok ditangguhkan," kata Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menyatakan perkara itu semasa prosiding pendengaran permohonan memasukkan bukti baharu bagi kes rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia selepas bekas Perdana Menteri itu selaku perayu, diwakili peguam Harvinder Singh Sidhu memohon agar prosiding kes dan keputusan rayuan pada Rabu ditangguhkan ke tarikh lain.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata, keputusan kes itu boleh dijalankan sebagaimana yang dijadualkan sebelum ini, sama ada secara fizikal atau dalam talian.

"Esok adalah untuk dibacakan keputusan sahaja, bukannya untuk dengar hujahan kerana ia (hujahan) dah selesai dan ditutup Mei lalu.

"Kalau seorang sahaja peguam hadir ke mahkamah pun tidak mengapa," katanya.

Semasa prosiding, Harvinder Singh memohon pendengaran dan keputusan kes ditangguhkan selepas seorang peguam Najib didapati postif Covid-19.

Menurutnya, ujian kendiri telah dilakukan terhadap kesemua pasukan peguam termasuk Tan Sri Muhammad Sahfee Abdullah dan keputusan didapati negatif.

Pada 17 Oktober 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah kemudian membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!