Didakwa rogol pembantu rumah, Paul Yong tiba di mahkamah

Paul Yong Choo Kiong menaiki kenderaan pelbagai guna MPV tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi.- Foto Bernama
Paul Yong Choo Kiong menaiki kenderaan pelbagai guna MPV tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi.- Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mendengar keputusan samada beliau dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Beliau yang menaiki kenderaan pelbagai guna MPV tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi.

Sebelum memasuki mahkamah, beliau bertemu dengan para penyokongnya yang dikatakan telah menunggu sejak jam 8.30 pagi.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 10 pagi.

Pada 28 Sept 2021, pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 November 2021.

Yong, 51, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. - Awani