Kes rogol: Keputusan Poul Yong diketahui esok

Paul Yong Choo Kiong. - Foto fail Bernama
Paul Yong Choo Kiong. - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Keputusan sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong akan dilepaskan atau diperintah membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia akan diketahui esok (Selasa)

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Wahab Mohamed dijadualkan menyampaikan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 10 pagi.

Pada 28 September 2021, pihak pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk dua saksi terlindung, untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu yang bermula pada 5 April lepas.

Mahkamah menetapkan tarikh untuk keputusan selepas selesai mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan pada 16 November 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasatan dapati ADUN Tronoh rogol pembantu rumah: Pegawai penyiasat

Paul, 51, didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019 mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen namun pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Yong didakwa di Mahkamah Sesyen pada 23 Ogos 2019 ketika memegang jawatan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.- Bernama

Artikel Berkaitan: