Peniaga rugi RM11,600, terpedaya iklan jual MyPR

Chang Hook
Chang Hook
A
A
A

JEMPOL- Seorang peniaga kerugian RM11,600 selepas ditipu dalam urusan mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang ditawarkan menerusi iklan di laman sosial Facebook bulan lepas.

Ketua Polis daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun mendapat maklumat berkaitan pihak yang boleh menguruskan hal ini melalui iklan di Facebook.

"Mangsa telah berurusan dengan seorang wanita pada 10 November lepas pada jam 1.08 petang selepas menghubungi talian telefon yang tertera di iklan Facebook itu.

"Individu tersebut telah menghantar mesej melalui aplikasi whatsApp dan memaklumkan cara-cara dan bayaran yang perlu dilakukan untuk mangsa untuk mendapatkan kad MyPR ini," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Jelasnya, mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh individu tersebut untuk satu keping kad MyPR berharga RM4,800.

"Setuju tawaran yang diberikan, mangsa telah berhubung lanjut dengan individu berkenaan bagi mendapatkan kad MyPR untuk seorang rakannya dan pekerjanya dengan kos dua kad MyPR berjumlah RM9,600 sahaja.

"Bagaimana pun, dia diminta membuat penambahan bayaran sebanyak RM2,000 setiap kad dan mangsa telah membuat pembayaran sebanyak RM11,600 serta meminta individu itu selesaikan proses permohonan untuk satu kad MyPR sebelum membuat bayaran tambahan berbaki RM2,000 lagi," katanya.

Chang Hook berkata, mangsa telah membuat pembayaran tersebut (berjumlah RM11,600) ke tiga akaun yang berbeza namun individu berkenaan mendesak mangsa menjelaskan baki bayaran RM2,000 lagi sebelum kedua-dua kad tersebut diproses.

Artikel Berkaitan:

"Curiga dengan tindakan tersebut, mangsa telah membuat semakan dan mendapati urusan yang dijalankan ini adalah tidak sah sebelum membuat laporan polis malah sehingga kini mangsa gagal berhubung dengan individu tersebut. Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Hasil siasatan awal mendapati akaun itu mempunyai rekod berkaitan kes penipuan bagi mendapatkan kad MyPR bersangkut repot Taman Taman Ungku Aminah, di Johor Bahru," katanya.