X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Marsyal jangan berlagak sebagai 'polis'

Mohamad (dua dari kiri) memeriksa barisan kawalan kehormat pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Seremban hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan memberi amaran kepada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang menggunakan marsyal ketika berkonvoi supaya tidak berlagak sebagai 'polis trafik' sekiranya datang ke negeri ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihak polis mungkin tidak berada di lokasi ketika kejadian, namun dengan kecanggihan teknologi sekarang, gambar dan video kejadian pasti akan tersebar dan sampai kepada pihaknya.

"Kalau kita tengok baru-baru ini ada dua insiden yang berlaku di daerah Port Dickson. Perkara ini kita sudah uar-uarkan di media berhubung penunggang motosikal berkuasa tinggi sebenarnya tidak dibenarkan menjadi marsyal.

"Mereka tidak dibenarkan menahan, melencong, menghalang apa jua kenderaan di atas jalan raya sebab mereka tidak ada kuasa itu. Tidak perlu datang ke negeri ini kalau berlagak sebagai polis," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di di sini pada Isnin.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai insiden yang dipercayai berlaku di sekitar Pasir Panjang, Port Dickson pada Ahad, Mohamad berkata, pihaknya sedang mengesan individu terbabit.

"Kita yakin dapat mengesan individu yang terlibat dalam rakaman tersebut, apa pun kami harap individu berkenaan dapat tampil ke hadapan.

"Ini bukan kes besar, kes trafik sahaja. Jangan sampai polis kesan, datang kepada pihak polis dan kami akan siasat serta kenakan tindakan tertentu," katanya.

Tegasnya, berkonvoi dan mempunyai ketua kumpulan tidak ada masalah, tetapi jangan menahan kenderaan awam di lampu isyarat dan lencongkan kenderaan. Jangan ambil tugas polis.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marsyal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan seperti mana video tular di laman sosial Facebook.

Di dalam video berdurasi tiga minit yang melibatkan konvoi motosikal berkuasa tinggi itu menunjukkan aksi marshal memberi arahan kepada sebuah kenderaan awam supaya memperlahankan kenderaan dan bergerak ke lorong kiri jalan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!