Identiti politik berasaskan kaum, agama akan hancurkan Malaysia

Rais Hussin ketika program temu bual Harith Iskander 'What's Going On Malaysia' di Facebook pada Ahad.
Rais Hussin ketika program temu bual Harith Iskander 'What's Going On Malaysia' di Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, identiti politik yang berasaskan kaum dan agama akan menghancurkan masa depan Malaysia.

Beliau sebaliknya melihat keperluan adanya parti yang berasaskan bangsa Malaysia untuk memimpin masa depan negara ini dengan memberi gambaran penglibatan Bersatu untuk hala tuju tersebut.

"Saya masih ahli Bersatu. Saya tidak meninggalkan parti. Saya mahu fikir dan terjemahkan dengan berhati-hati tentang apa yang patut saya lakukan untuk memelihara Bersatu iaitu parti yang saya terlibat sejak hari pertama penubuhannya.

"Logo Bersatu dibuat di rumah saya, malah saya juga terlibat dalam merangka perlembagaan parti sejak hari pertama lagi.

"Cepat atau lambat, keputusan perlu dibuat. Bersatu ketika ini agak berbeza dengan Bersatu ketika mula-mula ditubuhkan," katanya ketika program temu bual Harith Iskander 'What's Going On Malaysia' di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Harith adakah beliau merancang untuk 'melakukan semula' tindakan seperti penubuhan parti baharu sebagaimana tertubuhnya Bersatu ketika konflik politik pada 2017.

Mengulas hal sama, Rais Hussin bagaimanapun menolak hala tuju untuk menggerakkan penubuhan parti baharu.

Beliau berkata, sebarang keputusan akan dibuat selepas pertemuan dengan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan diaturkan beliau.

Artikel Berkaitan:

"Saya akan jumpa beliau dan akan buat keputusan (tapi) untuk tubuhkan parti lain bukan hala tuju saya. Bukan mudah untuk tubuhkan parti baharu.

"Jadi saya perlu lihat dengan teliti menerusi platform yang sedia ada. Saya rasa ini adalah masa untuk kita mempunyai parti politik berasaskan bangsa Malaysia untuk memimpin kerana identiti politik berasaskan kaum dan agama akan menghancurkan Malaysia. Jadi ia perlu dihentikan,"katanya.