X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Langkah benar import ayam dijangka bantu turun harga di pasaran

Hasnol Zam Zam (kanan) membuat lelongan jualan roti putih pada harga RM1 sebungkus pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Alor Gajah pada Ahad. - Foto Bernama
A
A

ALOR GAJAH - Langkah kerajaan membenarkan import ayam bulat sejuk beku dijangka dapat membantu menurunkan harga bekalan itu di pasaran negara, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Beliau berkata, tindakan tersebut dijangka dapat menyebabkan lebihan bekalan di pasaran tempatan, namun dalam masa yang sama terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi harga pasaran di peringkat domestik, antaranya harga ayam bulat sejuk beku import berkenaan yang ditetapkan negara pengeluar.

"Kebiasaannya apabila terdapat bekalan lebih di pasaran, maka harga akan turun sedikit tetapi kita kena lihat dahulu kesan import ayam bulat sejuk berkenaan kepada penawaran pasaran di negara ini.

"Dan jika harga (ayam bulat sejuk beku) dari negara sumber itu jauh lebih rendah daripada harga yang ditawarkan di dalam negara, mungkin harga yang boleh ditawarkan oleh peniaga juga rendah, namun itu semua kita belum mendapat maklumat kerana ia dikendalikan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI)," katanya selepas melakukan lawatan pada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman MAFI berkaitan kebenaran kerajaan untuk mengimport ayam bulat sejuk beku bagi tempoh tiga bulan bermula bulan ini sehingga Februari 2022, pada Sabtu.

MAFI berkata, kebenaran berkenaan bertujuan menampung kekurangan bekalan ayam di pasaran dan ia melibatkan pertimbangan untuk mengimport sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan.

Hasnol Zam Zam berkata, pihaknya juga mengkaji semula harga maksimum ayam standard bagi jualan runcit (RM9.30 sekilogram) dan pemborong (RM8 sekilogram) yang akan mula berkuat kuasa Selasa depan, pada masa akan datang sekiranya harga ayam di pasaran negara kembali pulih seperti biasa.

"Itu kami akan kaji balik seperti juga barang lain, contohnya seperti pelitup muka, walaupun kami meletakkan harga siling RM0.70, tetapi disebabkan penawaran yang banyak termasuk dari negara luar, maka harganya pun dah kurang daripada yang ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, PJKM akan dilaksanakan secara lebih meluas dan penganjurannya akan dilanjutkan selepas Februari tahun hadapan sekiranya terdapat keperluan atau permintaan yang tinggi daripada rakyat.

Beliau berkata, program yang menawarkan barangan pada harga antara 20 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga pasaran dan disasar diadakan dua kali setiap bulan itu dilaksanakan di kawasan yang mempunyai ramai penduduk golongan B40 dan M40.

"Di Melaka, kami menyasarkan kira-kira RM30,000 nilai jualan barangan bagi PJKM yang dilaksanakan selama dua hari bermula semalam (Sabtu) dan kami dapat lihat program ini mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat setempat," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!