X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Tanggungjawab sebar mesej antirasuah

Konvoi #RasuahBusters bermula pada 9 Disember 2021 dan akan berakhir pada 1 April 2022.
A
A

SHAH ALAM - Kesepakatan ahli gabungan yang juga Coalition of the Willing menyertai siri jelajah ke seluruh negara menerusi Konvoi #RasuahBusters pada 9 Disember ini hingga 1 April depan membuktikan rasa tanggungjawab mereka untuk menyebarkan mesej antirasuah.

Naib Presiden II Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohammad Amar Masuri berkata, pihaknya memperjuangkan perubahan positif dalam kalangan belia Malaysia.

Beliau berkata, antara advokasi dan fokus pihaknya adalah gaya hidup positif.

“Gejala rasuah sememangnya sesuatu yang perbuatan negatif. Selaku NGO belia, Pemuda Gema rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan kesedaran terutama dalam kalangan belia yang kebanyakan minda mereka masih belum dicemari dengan rasuah.

“Dengan adanya gerakan Rasuah Busters, kita mengambil peluang untuk turut bersama-sama dalam menanamkan kesedaran kepada masyarakat serta menyokong semua usaha Sekretariat Rasuah Busters termasuk Konvoi Rasuah Busters,” katanya kepada Kru Rasuah Busters pada Sabtu.

Beliau berkata, Pemuda Gema yang mempunyai 12 cawangan negeri di seluruh Semenanjung Malaysia bercadang untuk menyertai kesemua Konvoi #RasuahBusters di setiap negeri.

Selain itu katanya, sebagai langkah terus memperjuangkan isu rasuah, antara usaha lain yang dilakukan oleh pihaknya seperti menganjurkan larian virtual sempena Karnival Sukan Nasional Pemuda Gema yang dianjurkan setiap dua tahun sekali.

Menurutnya, pada tahun ini, karnival berkenaan bertemakan ‘Malaysia Tanpa Rasuah’.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Keselamatan dan Kebajikan Sinar Bintang, Deric Teh Siong Lieng yang turut menyatakan sokongan berkata, pihaknya amat terharu dengan segala usaha yang dilakukan Rasuah Busters diketuai Datuk Hussamuddin Yaacub.

Deric berkata, pihaknya akan memberi sokongan bersama dalam usaha membanteras rasuah bagi meningkatkan kemajuan negara.

“Rasuah memberi kesan yang pelbagai kepada masyarakat termasuk pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga mampu menjatuhkan kuasa undang-undang.

Konvoi #RasuahBusters bermula pada 9 Disember 2021 dan akan berakhir pada 1 April 2022.
Konvoi #RasuahBusters bermula pada 9 Disember 2021 dan akan berakhir pada 1 April 2022.

“Jijiknya rasuah itu boleh mengakibatkan penyelewengan yang banyak dan turut menyumbang kepada ketidakstabilan ekonomi,” ujarnya.

Tambah beliau, rasuah juga memberi impak buruk kepada negara kerana ia mengurangkan keyakinan pelabur, sekali gus merosakkan imej negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya akan bersama Rasuah Busters untuk bersama membanteras jenayah rasuah.

“Rasuah sangat ditegah agama, haram dan merosakkan negara.

“Pembela memperjuangkan antirasuah selain berhubungan baik dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Pada Jumaat, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, siri jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan bermula 9 Disember ini sempena Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

Jelas Nurhayati, Konvoi #RasuahBusters merupakan manifestasi bagi memerangi rasuah dengan menyampaikan mesej pendidikan dan kesedaran kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Konvoi #RasuahBusters adalah platform penting buat lebih 400 gabungan Rasuah Busters untuk turun bersama-sama sebagai solidariti tentangan terhadap isu rasuah, selain turut menyampaikan mesej antirasuah mengikut bidang perjuangan organisasi masing-masing,” ujarnya.

Ketua Penyelaras Jelajah Rasuah Busters, Mohd Shafiq Affandy Ali berkata, untuk destinasi pertama iaitu Lembah Klang, antara lokasi-lokasi yang akan dikunjungi ialah Pasar Tani MRR2, Kampung Pandan; Kuala Lumpur Sentral, Menara Kuala Lumpur; Malakat Mall, Cyberjaya; Pasar Pagi Tanjong Karang; Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam dan Dataran Pantai Morib.

Beliau berkata, di samping menyebarkan mesej kesedaran mengenai bahaya rasuah, Konvoi #Rasuah Busters turut mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk disertai orang ramai.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!