Penjawat awam rugi RM395,000 ditipu Macau Scam

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang penjawat awam wanita kerugian RM395,000 selepas ditipu Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pada hujung September lalu mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai pihak insurans semasa berada di rumahnya di Machang.

"Suspek memaklumkan mangsa telah membuat tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM70,000. Bagaimanapun mangsa telah menafikan dakwaan tersebut.

"Kemudian pada hari yang sama, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada suspek berbeza yang menyamar sebagai 'pegawai polis'.

"Suspek mendakwa hasil semakan lanjut mendapati mangsa telah terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan akan ditangkap," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa diminta untuk menyediakan wang jaminan sebanyak RM500,000 sekiranya mahu menyelesaikan kes tersebut.

Beliau berkata, mangsa telah mendedahkan semua maklumat akaun-akaun bank miliknya kepada 'pegawai polis' tersebut.

Shafien berkata, mangsa juga dilarang untuk memberitahu sesiapa berkenaan siasatan tersebut kerana bimbang akan mengancam keselamatan diri serta keluarga jika sindiket pengubahan wang haram berkenaan mendapat tahu berkenaan kerjasama yang diberikan mangsa kepada pihak 'polis'.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seminggu kemudian mangsa diarahkan untuk mengumpul semua wang miliknya ke dalam satu akaun bank sahaja.

"Mangsa telah mengeluarkan wang simpanan daripada beberapa institusi kewangan berjumlah RM115,000 dan memasukkannya ke dalam satu akaun bank milik mangsa yang telah dipilih oleh suspek.

"Pada Oktober dan November lalu mangsa telah membuat pinjaman dari dua buah bank yang berbeza berjumlah RM280,000 kemudian dipindahkan ke akaun bank milik mangsa yang sama bagi menyediakan wang jaminan yang telah diarahkan," katanya.

Menurutnya, selain itu mangsa juga masih dalam proses membuat pinjaman dengan sebuah lagi institusi kewangan kerana wang jaminan masih belum cukup.

Katanya, pada Khamis lalu mangsa telah membuat semakan baki akaun di bank berkenaan dan mendapati kesemua wang simpanan dan pinjaman yang dibuat sebelum ini telah dipindahkan ke akaun bank pihak ketiga tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

Beliau berkata, mangsa kemudian terus membuat laporan polis dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.