Hun Sen pertahan anak berjawatan besar

Hun-Sen-The-Cambodia-Herald
Hun-Sen-The-Cambodia-Herald
A
A
A
PHNOM PENH - KEMBOJA. Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, mempertahankan tindakan memberi jawatan kanan kepada tiga anaknya dalam jabatan kerajaan dan tentera atas alasan mereka memiliki kelayakan diperlukan.

“Semua mereka memiliki ijazah, sijil sarjana muda dan doktor falsafah. Kenapa kita mahu kelayakan mereka dibazirkan?"

Dua daripada anak lelaki Hun Sen memegang jawatan kanan dalam tentera.

Anak lelaki ketiga beliau pula adalah ahli Parlimen dan mempengerusikan suruhanjaya belia dan sukan di Parlimen.

“Saya wajar mencari kerja untuk mereka,” kata Hun Sen, 66, ketika berucap di satu majlis anugerah pelajar sekolah tinggi di ibu negara, Phnom Penh, semalam.

Namun, pengkritik Hun Sen berkata, pelantikan berkenaan bertujuan memperkukuh kawalan pemimpin berusia 66 tahun itu ke atas pentadbiran kerajaan dan ekonomi negara.

Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen menang kesemua 125 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum Julai lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Barat mempertikai keputusan pilihan raya yang disifatkan berat sebelah kerana tiada pembangkang kuat di Parlimen.

Ia ekoran tindakan membubarkan Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) lewat tahun lalu sebelum pilihan raya bermula dan penahanan beberapa pemimpinnya.- Reuters
Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!