Dalang, tekong darat ditahan bersama 21 PATI

Seramai 21 PATI, tiga tekong darat dan seorang dalang utama sindiket penyeludupan ditahan dalam dua serbuan di Pantai Baru Morib.
Seramai 21 PATI, tiga tekong darat dan seorang dalang utama sindiket penyeludupan ditahan dalam dua serbuan di Pantai Baru Morib.
A
A
A

BANTING - Seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru mendarat ditahan bersama tiga orang tekong darat dan seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan PATI dalam dua serbuan berasingan di sekitar Pantai Baru Morib di sini pada Jumaat.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed berkata, dalang sindiket yang merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun cuba memberi suapan RM6,000 kepada pasukan serbuan untuk membebaskan kesemua tangkapan.

Menurutnya, dalam serbuan pertama sekitar jam 7.30 pagi, seramai tiga lelaki yang bertindak sebagai tekong darat, 11 lelaki berusia 19 hingga 37 tahun dan 10 wanita berusia 18 hingga 44 tahun semuanya warga asing ditahan dalam tiga buah kenderaan di Jalan Tali Air, Morib di sini.

"Kesemua PATI tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan baru masuk ke negara ini melalui jalan laut yang tidak diwartakan menggunakan bot malah seorang PATI didapati memiliki kad pengenalan Malaysia yang dipercayai palsu.

"Polis menahan seorang lagi lelaki kira-kira jam 1.30 petang yang dipercayai perancang utama kegiatan penyeludupan PATI di Pantai Baru Morib bersabit dengan repot tangkapan pertama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Rizal berkata, pihaknya turut merampas empat buah kenderaan, telefon bimbit pelbagai jenama, dan wang tunai RM6,000 dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM55,550.

"Kesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Banting untuk tindakan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1964 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009," ujarnya.

Artikel Berkaitan: