X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Remaja disaman memandu tanpa lesen, langgar MPV polis

Polis mengambil masa sekitar 30 minit mengekori sebuah kenderaan dipandu seorang remaja yang melarikan diri daripada diperiksa anggota peronda polis di MRR2, Hulu Klang.
A
A

AMPANG JAYA - Seorang remaja bukan saja disaman kerana memandu tanpa lesen bahkan terlibat dalam kemalangan kerana melarikan diri daripada diperiksa anggota peronda polis di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Hulu Klang di sini petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, anggota yang sedang menjalankan rondaan di sekitar Bukit Antarabangsa mengesan sebuah Naza Citra yang dinaiki oleh empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, anggota peronda mengarahkan pemandu kenderaan tersebut untuk berhenti, bagaimanapun remaja berusia 15 tahun itu cuba melarikan diri sehingga terlanggar kereta peronda jenis Proton Preve milik polis.

"Pemandu kereta tersebut bertindak melarikan diri dengan menghala ke arah Seksyen 10, Wangsa Maju dan kereta peronda kenderaan pelbagai guna (MPV) terus mengekori kereta tersebut sekitar 30 minit.

"Semasa di Jalan MRR2, Hulu Klang pemandu kereta cuba untuk membuat pusingan U dan mengundurkan kereta lalu berlaku pelanggaran di bahagian depan sebelah kanan kereta peronda MPV," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Farouk memberitahu, hasil siasatan mendapati pemandu dan penumpang yang berusia antara 15 hingga 19 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Remaja berkenaan cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen dan kereta yang dinaiki tiada laporan curi.

''Hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu kereta bebas daripada sebarang penggunaan dadah," katanya.

Tambah beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kes disiasat di bawah Kaedah 10 Pengangkutan Jalan serta pemandu tersebut dikenakan dua saman.

"Saman dikeluarkan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (tiada lesen memandu/tidak dilindungi insuran) dan Seksyen 55 (enggan memberhentikan kenderaan yang dipandu atau ditunggang) akta sama,"ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!