Penuba ikan Sungai Lepar diburu

Ikan jenis lampan sungai dan terbun dimuatkan dalam kenderaan pacuan empat roda.
Ikan jenis lampan sungai dan terbun dimuatkan dalam kenderaan pacuan empat roda.
A
A
A

KUANTAN – Jabatan Perikanan Pahang dalam usaha mengesan sekumpulan individu yang didakwa melakukan aktiviti menuba ikan di Sungai Lepar yang tular di laman sosial Facebook, semalam.

Pengarahnya, Azahari Othman berkata, pihaknya kini sedang mengesan individu yang menular kegiatan itu dengan memuat naik status dan gambar dalam akaun terbabit.

“Pegawai kita akan membuat siasatan lebih terperinci berhubung perkara itu dan kita akan bersemuka dengan individu terbabit bagi mendapatkan kepastian.

“Ini kerana kegiatan ini menyalahi undang-undang dan jika benar aktiviti tuba dilakukan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azahari berkata, bukti penggunaan bahan terlarang bagi tujuan penangkapan ikan tersebut masih belum dapat dipastikan lagi, namun tidak mustahil mereka menggunakan jaring atau jala.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan dan tindakan undang-undang menanti mereka.

"Individu yang didapati terlibat boleh dikenakan hukuman di bawah peraturan Kaedah-Kaedah Perikanan (Perairan Sungai) 1991 Pahang.

Artikel Berkaitan:

Status bergambar dimuat naik di Facebook oleh individu yang menunjukkan aktiviti tuba di kawasan Sungai Lepar.
Status bergambar dimuat naik di Facebook oleh individu yang menunjukkan aktiviti tuba di kawasan Sungai Lepar.

“Peraturan itu diguna pakai terhadap individu yang terbukti menggunakan tuba atau racun untuk menangkap ikan dan boleh dikompaun RM500 hingga RM1,000 dan peralatan menangkap ikan dirampas,” katanya.

Semalam, beberapa pemilik akaun Facebook memuat naik gambar yang menunjukkan banyak ikan jenis lampan sungai dan terbun dimuatkan dalam bot gentian kaca dan kenderaan pacuan empat roda.

Mereka mendakwa hasil itu diperoleh daripada kegiatan menuba atau meracun secara kimia ikan-ikan terbabit di Sungai Lepar.

Sementara itu, Azahari berkata, musim kemarau yang melanda negara kini menyebabkan banyak sungai utama dan kecil menjadi cetek, peluang itu digunakan pihak tidak bertanggungjawab menangkap ikan menggunakan peralatan yang dilarang.

"Selain menggunakan tuba atau racun, penggunaan arus elektrik serta bahan letupan juga dikesan berlaku setiap kali musim kemarau terutama membabitkan kawasan pedalaman.

"Saya harap masyarakat termasuk nelayan darat dapat beri kerjasama dengan melaporkan kepada pihak kita jika melihat kegiatan menangkap ikan mengguna tuba, racun, bahan letupan dan arus elektrik,” katanya.