Armada sedia bantu pelaksanaan Gerai Prihatin Rakyat

Wan Ahmad Fahysal
Wan Ahmad Fahysal
A
A
A

SHAH ALAM - Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersetuju dan bersedia membantu usaha Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pelaksanaan model Gerai Prihatin Rakyat.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, model yang dilaksanakan di Melaka sejak awal tahun ini ternyata membantu meringankan beban kenaikan harga barang dalam bentuk potongan harga atas pakej barangan.

“Contohnya satu pakej barangan dapur yang pada asalnya berharga RM35 dijual serendah RM15 sahaja.

“Seperti mana dalam program sukarelawan vaksinasi sebelum ini, Armada bertindak menjadi penggerak utama inisiatif Gerai Prihatin Rakyat oleh Perikatan Nasional (PN) ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, Muhyiddin memutuskan supaya PN menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara bagi bagi membantu meringankan beban rakyat pada ketika ini.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Ketua Pemuda PN 1 berkata, seramai 2,000 ahli Armada 'task force' akan digerakkan ke seluruh negara menjadi mata dan telinga bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurutnya, ia bagi membantu dalam pemantauan harga di pasar-pasar serta melaporkan sebarang kegiatan pencatutan harga oleh penjual yang tidak bertanggungjawab.

“Jika ada sebarang aduan atau permasalahan melibatkan harga barang yang mencurigakan boleh dimaklumkan terus kepada Abdul Mutalib selaku Exco Armada Nasional dan Pengerusi Biro Pengaduan Awam di talian 018-3555904,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: