X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 26 Mei 2022

Perlu akur, patuhi arahan ASTAF

Syed Araniri
A
A

PENGERUSI Pengadil Sepak Takraw Malaysia merangkap Naib Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), perlu memikul tanggungjawab dalam memastikan arahan badan induk tersebut dipatuhi sepenuhnya jika tidak mahu berhadapan dengan tindakan disiplin.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs), Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos berkata, Pengerusi Pengadil Malaysia perlu faham apabila PSM telah disingkir dari gabungan ASTAF, ia bermakna semua undang undang yang berkaitan sepak takraw tidak lagi boleh diguna pakai oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Malah katanya, undang-undang itu juga tidak boleh digunakan mana mana pihak untuk tujuan penganjuran apa jua aktiviti atau kejohanan sepak takraw di Malaysia.

"Sekalipun kejohanan tersebut diadili oleh pengadil PSM yang tiada status ASTAF atau Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF)ianya tetap diragui keesahan dari segi perlaksanaan dan penguatkuasaan undang undang kerana undang-undang dari mana yang mereka gunakan dan sudah pasti tidak selari dengan undang undang yang diiktiraf badan dunia.

"Ironinya amat mudah, adakah pengadil pengadil sepak takraw di Malaysia yang memiliki lesen pengadil melalui kursus pengadilan yang berteraskan kepada undang undang antarabangsa sanggup mengorbankan prinsip untuk mengguna pakai undang undang rimba yang tiada keesahan badan dunia semata mata untuk merealisasikan suatu kejohanan bagi memenuhi kepentingan pihak tertentu.

"Persoalannya kenapa tergesa gesa untuk menganjurkan kejohanan sedangkan isu imej, maruah dan kredibiliti sukan sepak takraw negara masih belum dapat dipulihkan hingga kini dan sudah berlarutan hampir 8 bulan lamanya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengadil ASTAF, ISTAF tidak dibenarkan terlibat dengan STL

Sebelum ini pada Khamis, ASTAF dalama satu kenyataan berkata, Pengadil ASTAF dan ISTAF dari Malaysia diingatkan supaya tidak terbabit dalam kejohanan Sepak Takraw League (STL) yang dijadualkan dari 7 Januari hingga 27 Mac ini.

Katanya, pengadil yang terlibat boleh dikenakan tindakan disiplin dibawah peraturan dan undang-undang badan induk Asia berkenaan.

Dalam pada ujar Syed Araniri, pihaknya berpandangan bahawa PSM sudah tidak lagi relevan untuk memikul tanggungjawab sebagai badan induk sepak takraw negara kerana ianya telahpun disingkir ASTAF dan didakwa tidak mungkin akan diterima kembali.

Justeru katanya, atas dasar dan semangat untuk memulihkan kembali imej, maruah dan martabat sukan sepak takraw negara,Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) perlulah membubarkan PSM dengan kadar segera dan memberi laluan kepada penubuhan sebuah entiti baru sepak takraw negara yang memiliki barisan kepimpinan yang lebih bersih, amanah dan berintergriti sekaligus memiliki peluang yang lebih cerah untuk diterima semula sebagai ahli gabungan ASTAF.

"PSTPs amat menyokong penuh tindakan tegas pihak ASTAF dalam memastikan perlaksanaan dan penguatkuasaan undang undang sepak takraw dipatuhi sepenuhnya dan tidak sewenang wenangnya diubah mengikut cita rasa sendiri bagi memenuhi kepentingan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"PSTPs juga amat yakin bahawa program pembangunan dan apa jua penganjuran kejohanan akan kembali rancak dan berjalan lancar hanya setelah ASTAF menerima pendaftaran baru entiti sukan sepak takraw negara kelak," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!