X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Gagal dihubungi rupanya adik tertimbus

Mohd Kamal Hamdi
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Perasaan risau seorang abang selepas gagal menghubungi adik lelakinya terungkai apabila mangsa rupa-rupanya terbabit dalam kejadian tanah runtuh di di Laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Simpang Pulai di sini pada Khamis.

Mayat Muhammad Hafiz Hamdi, 31, yang memandu lori sayur dari Cameron Highlands berjaya dikeluarkan selepas 10 jam terperangkap dalam kejadian itu.

Menurut Mohd Kamal Hamdi, 40, berkata, dia cuba menghubungi adiknya itu selepas terbaca mesej tular mengenai kejadian tersebut.

"Saya masukkan dalam kumpulan WhatsApp keluarga untuk dapatkan maklumat kejadian itu dan kebiasaannya adik akan cepat balas mesej.

"Tetapi kali ini, dia tidak balas langsung mesej saya. Saya cuba hubungi dia tetapi tidak dapat. Perasaan saya ketika itu sudah risau," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa tertimbus dipercayai pemandu lori sayur

Dia yang juga bekerja sebagai pemandu lori bergegas ke lokasi kejadian dari Kuala Lumpur untuk mengesahkan penglibatan adik.

"Saya tidak berpuas hati naik sendiri ke lokasi kejadian kerana ini laluan yang biasa adik lalui ketika bekerja sejak lima tahun lalu. Saya mahu pastikan adik betul-betul tidak terlibat.

"Saya lebih kasihan kepada adik ipar yang masih dalam keadaan trauma, ibu di kampung juga sudah tidak bermaya mendengar perkhabaran ini," katanya.

Mohd Kamal berkata, arwah meninggalkan balu dan dua anaknya yang masih kecil.

Jenazah akan dikebumikan di kampung halaman di Parit Tanjung Piandang, Parit Buntar.

Sementara itu, Abang ipar Allahyarham, Rosli Saidin, 52, yang ditemui di perkarangan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini menyifatkan Muhammad Hafiz seorang yang sangat baik.

Menurutnya, kali terakhir berjumpa dengan Allahyarham pada bulan lalu selepas kebenaran merentas negeri diumumkan kerajaan.

"Masa jumpa dia, kami buat makan-makan barbeku dan dia tolong masak malah arwah memang suka memasak.

"Hari ini dalam jam 7 malam tadi kami dapat berita dia terlibat dalam kejadian tanah runtuh dan saya terus bergegas ke Ipoh," katanya yang tinggal di Butterworth, Pulau Pinang.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!