HRD Corp kini agensi pusat program pembangunan modal insan: PM

Ismail Sabri (dua dari kiri) melawat tapak pameran selepas Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp dan Platform Sehenti Kebangsaan Untuk Semua Kursus Latihan Pembangunan dan Kemahiran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kiri) melawat tapak pameran selepas Majlis Pelancaran Jenama Baharu HRD Corp dan Platform Sehenti Kebangsaan Untuk Semua Kursus Latihan Pembangunan dan Kemahiran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) akan berperanan sebagai agensi pusat untuk semua program pembangunan modal insan selaras penjenamaan semula agensi itu di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) pada Khamis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga telah menetapkan bahawa semua latihan peningkatan dan kepelbagaian kemahiran diletakkan di bawah satu kementerian sahaja iaitu KSM yang dikendalikan HRD Corp bagi mengelakkan pertindihan.

"Usaha ini akan diterjemahkan melalui platform bersepadu atau ‘single window’ untuk rakyat Malaysia mencari dan memohon program pembangunan kemahiran yang ditawarkan oleh kerajaan.

Platform bersepadu ini akan diakses lebih sejuta rakyat Malaysia pada tahun hadapan," katanya ketika melancarkan jenama baharu HRD Corp dan platform sehenti Program Kemahiran Upskill Malaysia di sini pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 5,000 kursus akan ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dan dijangka disertai 220,000 peserta menerusi pembiayaan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin HRD Corp yang dahulu dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mampu terus menyokong visi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi berteraskan ekonomi digital, melalui pembangunan Keluarga Malaysia.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan yang termaktub dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), berteraskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dua dimensi utama RMK12, iaitu Pemerkasaan Ekonomi dan Perekayasaan Sosial sememangnya memerlukan inisiatif yang mencipta peluang pekerjaan dan latihan kemahiran untuk segenap masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap HRD Corp akan dapat memberikan manfaat serta impak yang besar kepada negara untuk jangka panjang, selaras dengan misi agensi itu untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat Malaysia melalui pembelajaran sepanjang hayat dan memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

“Menjadi harapan saya agar HRD Corp akan terus menyokong usaha pembangunan modal insan melalui lebih banyak program kemahiran, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula yang akan memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sejak penubuhannya pada tahun 1993, HRD Corp telah memainkan peranan yang signifikan di dalam membentuk tenaga kerja yang berkemahiran tinggi melalui pelbagai skim latihan dan meningkatkan produktiviti bidang perindustrian negara.

Katanya, peranan agensi itu menjadi semakin penting sepanjang tempoh 18 bulan ini, apabila ia memperkenalkan pelbagai program untuk melindungi pekerjaan sedia ada dan mencipta peluang baharu untuk rakyat Malaysia.

“Ini termasuk program latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan, Penjana HRDF yang diperkenalkan pada Jun 2020 dan telah membantu hampir 100,000 peserta menerusi lima skim utama iaitu Place & Train, B40 Development (Pembangunan B40), Gerak Insan Gemilang (GIG), Industrial Revolution 4.0 (Revolusi Perindustrian 4.0) dan SME Development (Pembangunan PKS),” katanya.

HRD Corp juga antara lain telah memperkenalkan hab pembelajaran dalam talian percuma, e-LATiH, yang kini mempunyai seramai 154,000 pelajar berdaftar dan 400,000 enrolmen dalam lebih 400 kursus kemahiran pelbagai.

Ismail Sabri berkata, HRD Corp juga terus memperkasa fungsi utamanya iaitu pengumpulan levi dan pengagihan dana untuk program latihan kemahiran oleh majikan berdaftar dan sepanjang tahun lalu telah mengagihkan hampir RM420 juta untuk program latihan kemahiran majikan berdaftar, merangkumi lebih 416,000 pekerja.

Katanya, jumlah pungutan levi untuk tahun ini dijangka mencecah RM680 juta dan sebahagiannya telah digunakan untuk melatih 500,000 pekerja, selaras dengan perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia Bhd 2001 yang menyaksikan peningkatan majikan berdaftar dengan agensi itu daripada 33,000 kepada 65,400 majikan.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan lebih 96 peratus melibatkan hampir empat juta pekerja dalam tempoh setahun,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau yakin HRD Corp akan menjadikan pengurusan latihan lebih sistematik dan dapat memberi tumpuan penuh terhadap latihan berdasarkan keperluan semasa pihak industri.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dan Pengerusi Lembaga Pengarah HRD Corp, Datuk Seri Jamil Salleh. - Bernama