X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

UMNO serah kepada 191 bahagian tentukan masa depan MN

Ahmad (depan) melihat kejayaan pelajar yang dipaparkan di ruang khas Kolej Tingkatan Enam Pontian pada Khamis.
A
A

PONTIAN - Status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) akan ditentukan oleh 191 bahagian parti itu yang mula bersidang pada 18 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, persidangan kali ini cukup penting bagi masa depan MN sebelum Perhimpunan Agung UMNO berlangsung selama tiga hari bermula 13 Januari depan.

Beliau berkata, parti juga perlu mempertimbangkan pandangan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri yang akan bersidang pada 11 dan 12 Disember ini.

"Buat masa ini tiada kata akhir diputuskan parti terhadap MN selepas Pas memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) berbanding MN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

"Ini kerana UMNO masih lagi berpegang pada janji iaitu keputusan pada perhimpunan agung tahun lepas yang mahu MN diperkuatkan. Selagi belum ada Perhimpunan Agung UMNO, kerjasama ini tidak boleh diubah.

"Oleh itu, saya berharap 191 bahagian UMNO yang bersidang kelak dapat membuat keputusan terbaik terhadap MN untuk parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya selepas mengadakan tinjauan di Kolej Tingkatan Enam Pontian di Taman Megah di sini pada Khamis.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut berharap agar bahagian yang akan bersidang kelak turut membincangkan soal PRU15 selepas momentum cemerlang ditunjukkan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka.

"Bukan sahaja MN tetapi pendapat akar umbi sama ada PRU15 dipercepatkan atau dilambatkan juga perlu dibincangkan di peringkat bahagian dan sayap.

"Saya berharap PRU15 dipercepatkan dengan peringkat bahagian dan sayap bawa perkara ini dalam persidangan ini kelak," ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, surat parti mengenai Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO pada 18 Disember ini sudah dihantar kepada setiausaha serta ketua bahagian di seluruh negara.

Menurutnya, surat berkenaan turut disertakan prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Persidangan bahagian boleh dilakukan secara hibrid atau bersemuka seperti sebelum ini bergantung sama ada terdapat dewan yang boleh memuatkan satu perempat bahagian seperti yang disyaratkan RoS.

"Saya berharap semua bahagian mengikut SOP seperti yang diarahkan termasuk mereka yang hadir perlu lengkap divaksin selain penjarakan fizikal," kata beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!