X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Petronas kembali raih keuntungan pada suku ketiga

A
A

PETROLIAM Nasional Bhd (Petronas) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM16.3 bilion dalam suku ketiga berakhir 30 September 2021, berbanding kerugian selepas cukai RM3.4 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Keuntungan itu sejajar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang tinggi serta kerugian rosot nilai rendah bagi aset.

Syarikat minyak nasional itu juga merekodkan hasil sebanyak RM61.8 bilion, peningkatan 50 peratus daripada RM41.1 bilion yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun lepas, disumbang terutamanya daripada purata harga direalisasi tinggi bagi produk utama tetapi diimbangi sebahagiannya oleh volum jualan rendah daripada minyak mentah dan kondensat.

“Prestasi kewangan suku ketiga Petronas memperlihatkan fokus utama kami kepada kecemerlangan operasi dan komersial kumpulan.

“Kami terus memastikan kebolehpercayaan operasi kami untuk memanfaatkan pemulihan permintaan tenaga global dengan memberi penekanan utama kepada keselamatan pekerja dan aset kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada suku ketiga, aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) Petronas meningkat lebih daripada tiga kali ganda kepada RM21.8 bilion daripada RM6.3 bilion, sejajar dengan keuntungan operasi tunai tinggi dan pergerakan modal kerja yang positif.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kumpulan itu merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM35.2 bilion, peningkatan lebih daripada 100 peratus daripada kerugian selepas cukai sebanyak RM19.9 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, sejajar dengan EBITDA tinggi ditambah dengan kerugian rosot nilai bersih bagi aset yang rendah.

Hasil bagi tempoh tersebut meningkat 27 peratus kepada RM171.4 bilion daripada RM134.7 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas disebabkan terutamanya purata harga direalisasi yang memberangsangkan bagi produk utama ditambah dengan volum jualan gas asli cecair dan gas yang tinggi.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas akan terus memantapkan portfolio terasnya di samping mengembangkan perniagaan tenaga baharu bagi menyediakan penyelesaian yang selamat, bersih dan lebih pantas kepada pelanggan pada harga yang kompetitif, mengukuhkan peranannya sebagai rakan tenaga.

Menurut Petronas, CFFO syarikat dalam tempoh sembilan bulan pertama 2021 berjumlah RM54.5 bilion, naik sebanyak 67 peratus daripada RM32.6 bilion sejajar dengan keuntungan operasi tunai tinggi.

Jumlah asetnya meningkat kepada RM618.9 bilion setakat 30 September 2021 berbanding RM574.1 bilion setakat 31 Disember 2020.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM337.5 bilion berbanding RM330.6 bilion pada 31 Dis, 2020, disumbang terutamanya daripada keuntungan yang direkodkan semasa tempoh tersebut, kata Petronas.

Pelaburan modal syarikat itu berjumlah RM20.4 bilion, terutamanya disebabkan oleh projek huluan.

Operasi huluan Petronas merekodkan purata pengeluaran harian sebanyak 2.27 juta tong bersamaan minyak (boe) sehari bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, peningkatan daripada 2.19 juta boe sehari pada tempoh yang sama pada 2020, disebabkan terutamanya pengeluaran gas asli tinggi berikutan permintaan tinggi bagi operasi Malaysia dan antarabangsa. Bagaimanapun ini diimbangi sebahagiannya oleh pengeluaran minyak mentah rendah.

Pada masa hadapan, kumpulan itu berkata trajektori semasa industri minyak dan gas dijangka berterusan memandangkan pemulihan sederhana dalam permintaan yang disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi di seluruh dunia.

Petronas berkata, ia akan terus memacu kecemerlangan operasi dan komersialnya bagi menambah baik mudah tunai dan keuntungan dalam melaksanakan strategi pertumbuhannya.

"Melangkah ke hadapan, Petronas akan terus melaksanakan strategi pertumbuhan serampang tiga matanya dan aspirasi pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050 untuk menyumbang ke arah peralihan tenaga yang bertanggungjawab,” kata Tengku Muhammad Taufik. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!