Pelajar SPM maut ketika pulang dari sekolah

Motosikal ditunggang mangsa kemalangan dengan Proton Wira (Ihsan Bomba)
Motosikal ditunggang mangsa kemalangan dengan Proton Wira (Ihsan Bomba)
A
A
A

KUALA PILAH - Seorang pelajar Tingkatan Lima yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menduduki peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meninggal dunia kerana terlibat dalam kemalangan di Kilometer 24 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kampung Gedang di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Shah Iskandar Nor Haszemi, 17, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Samad cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, mangsa yang menunggang motosikal terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Proton Wira dari arah Kuala Pilah menghala ke Seremban.

"Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sawah Liat, namun dari arah belakang telah melanggar bahagian pintu hadapan Proton Wira yang bergerak di laluan sama.

Bomba dan polis melihat keadaan mangsa (ihsan Bomba)
Bomba dan polis melihat keadaan mangsa (ihsan Bomba)

"Ketika itu kereta terbabit sedang membelok ke kanan jalan untuk masuk ke simpang Kampung Gedang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu Proton Wira iaitu lelaki berusia 29 tahun cedera di kepala dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.