Menara Merdeka 118 kini bangunan kedua tertinggi di dunia

Rakaman gambar Menara Merdeka 118 (kanan) bersama deretan menara-menara lain di ibu kota seperti Menara Kuala Lumpur, Menara TRX dan Menara Berkembar Petronas. - Foto Bernama
Rakaman gambar Menara Merdeka 118 (kanan) bersama deretan menara-menara lain di ibu kota seperti Menara Kuala Lumpur, Menara TRX dan Menara Berkembar Petronas. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Penyempurnaan pemasangan puncak Menara Merdeka 118 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan Merdeka 118.

Lengkapnya pemasangan puncak Menara Merdeka 118 menjadikannya menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa secara rasmi dan tertinggi di Asia Tenggara pada ketinggian 678.9 meter.

Ismail Sabri dalam ucapannya berkata, Menara Merdeka 118 bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun.

“Merdeka 118 juga membawa semangat Keluarga Malaysia, selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan kerana kawasannya yang berdekatan dengan Jalan Petaling, Kampung Attap dan Pudu.

“Mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118. Permohonan Geran Merdeka 118 ini telah pun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

“Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti dan membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosioekonomi,” katanya ketika Majlis Perasmian Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Arifin Zakaria serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri (tengah) menyempurnakan gimik Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 pada Selasa. Turut kelihatan Tun Arifin (kiri) dan Ahmad Zulqarnain. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
Ismail Sabri (tengah) menyempurnakan gimik Majlis Penyempurnaan Pemasangan Puncak Menara Merdeka 118 pada Selasa. Turut kelihatan Tun Arifin (kiri) dan Ahmad Zulqarnain. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Menara Merdeka 118 dinamakan mengambil inspirasi mercu tanda sejarah negara iaitu Stadium Negara dan Stadium Merdeka kerana lokasinya yang menghadap kedua-dua mercu tanda itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pembinaan Merdeka 118 juga merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan, selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

“Merdeka 118 kini bersedia menjadi sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur dengan sejarah, rekreasi, sukan dan hiburan yang akan diaktifkan semula di ibu kota Malaysia.

“Saya teruja menantikan kesan positif serta nilai yang akan dibawa oleh mercu tanda baru ini kepada kawasan bersejarah Kuala Lumpur.

“Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara selain simbol sebagai rakyat Malaysia yang bersatu padu,” katanya.