X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Hubungan rapat Malaysia-Singapura amat penting: PM

Ismail Sabri kini dalam rangka lawatan rasmi ke Singapura atas jemputan rakan sejawatannya, Loong Hsien Loong.
A
A

SINGAPURA - Sebagai negara jiran terdekat, hubungan rapat dan mendalam antara Malaysia dan Singapura sangat penting kepada kedua-dua belah pihak, kata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Penglibatan pelbagai peringkat yang lebih aktif dan kerjasama yang lebih kukuh sudah tentu merupakan jalan terbaik bagi kedua-dua negara dalam bergerak ke hadapan.

“Ini juga penting untuk hubungan kerjasama kami dalam melaksanakan usaha pemulihan yang berkesan dan bermakna (ekonomi), supaya kedua-dua negara akan menjadi lebih kuat berikutan impak dahsyat pandemik Covid-19,” kata Ismail Sabri pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong di sini pada Isnin.

Perdana Menteri Malaysia kini dalam rangka lawatan rasmi ke Singapura atas jemputan Hsien Loong.

Menurut Ismail Sabri, kedua-dua negara hari ini telah mencapai satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama mereka dengan pembukaan semula sempadan negara melalui pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat (VTL-Land).

Ismail Sabri pada pagi Isnin telah melakukan perjalanan bersejarah dengan melintasi Tambak Johor dan disambut oleh Perdana Menteri Singapura di Woodlands Checkpoint.

“Ini dengan sendirinya sangat penting kerana pada masa yang sama, kami turut melancarkan VTL-Udara. Ia adalah sebahagian daripada pembukaan semula sempadan negara secara beransur-ansur untuk memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara,” kata Perdana Menteri Malaysia.

Ismail Sabri berkata, beliau juga telah berbincang dengan rakan sejawatannya mengenai langkah-langkah tambahan yang akan dilakukan oleh kedua-dua negara berhubung perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

Kedua-dua mereka telah bersetuju untuk memasukkan semua kategori pengembara untuk VTL-Darat, tertakluk kepada keperluan kesihatan yang ditentukan oleh kedua-dua negara.

Mereka juga bersetuju untuk memperluaskan VTL-darat untuk memasukkan laluan perkhidmatan bas tambahan melalui Link Kedua, kereta api yang dikendalikan oleh Keretapi Tanah Melayu (KTM) dan secara berperingkat melibatkan kenderaan peribadi seperti motosikal dan kereta.

“Kami mengakui bahawa pembukaan semula sempadan adalah penting untuk mengaktifkan semula aktiviti sosial dan ekonomi rentas sempadan yang akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Ismail Sabri.

“Kami berharap dengan berbuat demikian, ia akan memberi peluang kepada lebih ramai penduduk di kedua-dua belah Tambak yang telah berjauhan dengan keluarga akibat pandemik Covid-19 dapat bersatu semula dengan orang tersayang,” tambah beliau.

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pergerakan/perjalanan rentas sempadan melalui udara antara Singapura dan destinasi-destinasi seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu di Malaysia.

“Kami berdua memutuskan agar para pegawai dari kedua-dua negara harus mula merangka langkah-langkah bagi tujuan ini,” katanya.

Sementara itu, pada sebelah tengah hari, Ismail Sabri dan Hsien Loong telah mengadakan pertemuan empat mata di Istana.

Dalam pertemuan itu, Ismail Sabri berkata, kedua-dua pemimpin juga bersetuju mengenai keperluan untuk terus membincangkan mekanisme dua hala sedia ada mereka.

“Ini termasuk Pemukiman Pemimpin Tahunan ke-10, yang kami tidak dapat mengadakannya sejak dua tahun lepas akibat pandemik itu.

“Insya- ALLAH, kami akan mengadakan Pemukiman Pemimpin pada suku pertama tahun depan dan berharap dapat kembali semula ke Singapura,” kata beliau.

Ismail Sabri turut memaklumkan beliau dan Hsien Loong bersetuju bahawa mekanisme lain di peringkat menteri dan rasmi perlu disambung semula secepat mungkin.

“Ini penting untuk memastikan kerjasama pelbagai aspek dan isu-isu tertunggak dikekalkan di landasan yang betul dengan momentum ke hadapan yang positif. Selepas itu, PM Lee (Hsien Loong) dan saya akan membincangkan kemajuan dalam mekanisme dua hala ini pada Pemukiman Pemimpin kami,” tambahnya.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh situasi di Myanmar.

“Kami bersetuju bahawa adalah penting bagi ASEAN untuk terus memainkan peranan yang positif dan membina dalam memudahkan penyelesaian kukuh dan aman demi kepentingan Myanmar serta Komuniti ASEAN yang lebih besar.

“Kami berharap demokrasi akan kembali di Myanmar dan menyaksikan penyertaan Myanmar di peringkat tertinggi pada sidang-sidang kemuncak akan datang,” kata Ismail Sabri. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!