Menyamar pegawai KPDNHEP, pekerja kampung dipenjara sehari

Seorang lelaki dipenjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin atas kesalahan menyamar sebagai pegawai KPDNHEP.
Seorang lelaki dipenjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin atas kesalahan menyamar sebagai pegawai KPDNHEP.
A
A
A

SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Padah menyamar sebagai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), seorang lelaki dipenjara sehari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.

Tertuduh, Aidil Akram Harun, 38, yang bekerja di kampung, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibaca jurubahasa terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Saleh.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas, menipu seorang lelaki berusia 47 tahun, dengan cara samaran supaya mangsa mempercayai tertuduh adalah pegawai KPDNHEP.

Tertuduh dengan curang mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM3,000 yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Seksyen 7, Kota Damansara pada 6 April 2013 lalu.

Perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab dan Pegawai Pendakwa Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: