Pelajar cemerlang amal baca satu juzuk al-Quran setiap hari

Dr Hannah menunjukkan trofi, sijil dan enam anugerah kecemerlangan Fakulti Perubatan Veterinar, UMK yang dirangkul olehnya.
Dr Hannah menunjukkan trofi, sijil dan enam anugerah kecemerlangan Fakulti Perubatan Veterinar, UMK yang dirangkul olehnya.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang hafizah yang menjadikan amalan membaca satu juzuk al-Quran pada setiap hari berjaya meraih 10 kali Anugerah Dekan dan merangkul enam anugerah kecemerlangan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Dr Hannah Alam Faizli, 27, yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu membawa pulang wang tunai keseluruhannya berjumlah RM11,250, sijil dan trofi.

Pencapaian yang diraih adalah Anugerah Kijang Emas (RM5,000), Anugerah Terbaik Projek Tahun Akhir (RM2,000), Anugerah Terbaik Paraklinik (RM1,500), Anugerah Terbaik Latihan Klinikal (RM1,000) Anugerah Kepimpinan (RM1,000) dan Anugerah Kecemerlangan Hill’s Pet Nutrition - Terbaik Peperiksaan Komprehensif (RM750).

Berkongsi rahsia kejayaannya, Dr Hannah berkata, membaca al-Quran pada setiap hari menjadi amalannya di samping memberi tumpuan 100 peratus ketika pembelajaran berlangsung sama ada secara bersemuka atau dalam talian.

Katanya, kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah kerana menuntut pengorbanan selama lima tahun atau 10 semesta tempoh pengajian dalam keadaan kekangan ketika pandemik Covid-19.

“Cuma, amalan saya akan fokus sepenuhnya kepada pensyarah yang ketika mereka mengajar dan mengamalkan bacaan satu juzuk al-Quran pada setiap hari.

Artikel Berkaitan:

Dr Hannah (tengah) diapit ibu bapanya, Rohani (kanan) dan Alam Faizli (kiri) yang meraikan anugerah diraih graduan tersebut pada Ahad.
Dr Hannah (tengah) diapit ibu bapanya, Rohani (kanan) dan Alam Faizli (kiri) yang meraikan anugerah diraih graduan tersebut pada Ahad.

“Sesibuk manapun saya akan tetap akan berusaha mencari waktu dan mengaji al-Quran selain berpuasa pada hari peperiksaan berlangsung serta mengamalkan memakan kismis,” katanya ketika ditemui di UMK pada Ahad.

Hadir sama, ibu bapa Dr Hannah yang merupakan, pasangan bekas pensyarah universiti awam, Rohani Abdul Rahman, 62, dan Alam Faizli Mohd Zain,63.

Dr Hannah sebelum itu menerima kesemua penganugerahan itu pada Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Fakulti Perubatan Veterinar, UMK di Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini.

Anak kelapan daripada 10 beradik itu sebelum ini turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMK dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.94 pada Istiadat Konvokesyen UMK kali ke-10 dan 11 di UMK Bachok pada 20 November lalu.

Hannah juga adalah hafizah yang mendapat pendidikan di Maahad Tahfiz Quran Hira, Jeram, Selangor ketika berusia 16 dan 17 tahun pada tahun 2010 serta 2011.

“Ibu bapa adalah pendorong kuat dan tulang belakang yang sentiasa bersama saya semasa berdepan kesukaran dalam pelajaran melengkapkan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan Veterinar di UMK.

“Selainnya, dua lagi abang adalah hafiz yang turut membantu serta tujuh lagi adik-beradik berjaya dalam pelajaran turut menjadi pembakar semangat,” katanya.

Mengulas berkait minat terhadap haiwan terutama binatang buas bermula ketika berada di sekolah menengah dan kerap kali menjadi sukarelawan di Zoo Negara Malaysia, Ampang, Selangor.

“Ketika itu, saya dapat mendekati banyak binatang buas untuk memberikan makanan dan sempat memperoleh pengalaman merawat seekor harimau belang betina bernama Pia yang mengalami muntah.

“Saya juga sangat teruja melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap singa serta menyimpan hasrat membuka sebuah klinik haiwan pada masa depan,” katanya.