X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Bantu negara elak kerugian hingga RM60 bilion angkara rasuah

Hussamuddin Yaacub
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dianggarkan mengalami kerugian antara RM40 bilion hingga RM60 bilion setiap tahun akibat amalan rasuah, tidak berintegriti, konflik kepentingan diri serta tidak berlakunya ketelusan di dalam pengurusan negara.

Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, menerusi laporan daripada Global Financial Integrity yang dikeluarkan pada 2017, Malaysia telah kehilangan RM1.8 trilion menerusi aliran kewangan tidak sah antara tahun 2005 hingga 2014 apabila sebahagian daripadanya berpunca daripada amalan rasuah.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, wang berjumlah RM1.8 trilion tersebut mampu digunakan untuk menyediakan lima set Bajet 2022 untuk kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang pernah merumuskan bahawa sehingga 30 peratus daripada nilai projek awam Malaysia hilang akibat perbuatan salah urus dan amalan rasuah.

"Ini bermakna negara boleh berjimat sehingga RM400 bilion jika kita membayar 30 peratus kurang untuk barangan dan perkhidmatan yang disediakan oleh kontraktor dan vendor dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember 2021, Rasuah Busters mengajak rakyat di setiap peringkat berganding tenaga dan sumber bagi menjadikan Malaysia benar-benar sebuah negara yang bebas rasuah.

"Jika amalan rasuah berterusan dan tidak ditangani dengan segera serta bersepadu, ia berisiko untuk melandaikan lengkuk pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat dan serius.

"Oleh itu, rakyat perlu bangkit untuk menjadikan usaha memerangi rasuah itu sebagai jihad, tanpa mengira sebesar mana saiz rasuah yang ditawar, diberi dan diterima," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hussamuddin Yaacub berkata, sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa kali ini, Rasuah Busters mahu rakyat mengambil ikrar untuk memastikan negara tidak lagi mengalami kerugian berbilion ringgit akibat perbuatan rasuah, kelemahan dalam isu integriti, konflik kepentingan diri serta ketidak telusan.

Jelasnya, data dan fakta menunjukkan negara telah kehilangan berbilion ringgit malah berkemungkinan mencecah trilion ringgit dengan mengambil kira 'ekonomi gelap' atau 'black economy' yang dianggarkan sekitar 26 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tegas beliau, bagi mengelak berlakunya ketirisan dan keupayaan penjimatan berbilion ringgit, jumlah besar itu akan dapat membantu negara meningkatkan taraf sosioekonomi termasuk kemudahan kesihatan dan pendidikan bermutu yang sangat diperlukan oleh rakyat pada hari ini.

"Rakyat dan negara telah menerima pelbagai impak ketara akibat rasuah yang berleluasa.

Kita tidak harus membiarkan perkara ini berlarutan.

"Rakyat perlu bangkit untuk menghentikan rasuah.

Jika tidak, seluruh rakyat Malaysia sendiri yang akan berhadapan persekitaran yang malang," katanya.

Sementara itu katanya, sejak ditubuhkan 10 bulan lalu, kempen #RasuahBusters telah berjaya membawa perubahan yang ketara dalam kalangan rakyat dengan mesej mengenai kepentingan menjauhi dan memerangi rasuah di semua peringkat.

Menurutnya, usaha memerangi rasuah yang dijalankan Rasuah Busters berupaya menarik perhatian ramai dan mendapat sokongan lebih 400 entiti yang menganggotai Coalition of the Willing Rasuah Busters.

Tambahnya, sempena sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa pada 9 Disember ini, Rasuah Busters mengeluarkan klip video 'Mak Kata Jangan' siri kedua pada hari ini.

"Inisiatif tersebut adalah susulan penerimaan luar biasa daripada rakyat ke atas klip pertama yang dikeluarkan bulan Mac lalu," katanya.

Selain itu menurutnya, satu konvoi atau siri jejalah Rasuah Busters dengan membawa misi #MalaysiaTanpaRasuah ke seluruh negara yang bermula 9 Disember hingga 1 April 2022 akan dilancarkan pada Hari Antirasuah Antarabangsa nanti.

Jelasnya, konvoi Rasuah Busters adalah siri jelajah ke seluruh negara bagi menyampaikan mesej antirasuah agar rakyat cakna menentang segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa.

"Saya juga berharap rakyat Malaysia akan memulakan tindakan proaktif di peringkat masing-masing walaupun kecil bagi menolak rasuah dan mengatakan 'tidak kepada rasuah', sekali gus membantu negara dan rakyat tidak lagi kehilangan berbilion ringgit setiap tahun," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Kempen Rasuah Busters pilih Mat Jujur

ARTIKEL BERKAITAN:Apakah usaha SPRM dan JPM dengan Rasuah Busters?


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!