Kepentingan penerbitan biografi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SENARIO penerbitan biografi di negara ini telah diperkatakan dalam satu forum, “Persidangan Penerbitan Biografi Malaysia” (PPBM) di sebuah hotel di Putrajaya pada 18 dan 19 November 2005 anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.

Persidangan yang bertemakan, “Memperkasa Korpus Warisan Malaysia” begitu penting untuk mencetuskan pelaksaanaan penerbitan biografi oleh rumah-rumah penerbitan dalam konteks projek biografi kontemporari.

Berdasarkan pencarian dalam katalog perpustakaan, tidak sampai seribu judul biografi yang telah diterbitkan sehingga kini di negara kita, namun jumlah ini tidak berpadanan dengan warisan yang ditinggalkan oleh pemuka-pemuka kemajuan negara dalam semua aspek pentadbiran, sosial dan kehidupan.

Hal ini menyebabkan catatan warisan negara terabai dan lambat laun lenyap ditelan zaman.

Meskipun beberapa penyelidikan biografi dilakukan di universiti tempatan dan turut disokong dengan terbitnya Jurnal Biografi Malaysia (Jun 2005) tetapi perkembangannya tidak selancar seperti diharapkan dan wajar diaktifkan sebagaimana yang telah diresolusikan dalam seminar biografi 1986.

Di Indonesia, menurut Gerry van Klinken, penulisan buku biografi dari tahun 1950-2000 berjumlah 2,629 judul merangkumi penerbitan biografi, autobiografi, memoir dan prosopografi, malahan negara itu juga melahirkan banyak sekali novel biografi yang kreatif sifatnya tetapi mengandungi fakta dan refleksi autentik dari pengalaman seseorang tokoh.

Misalnya, novel biografi Muhammad Lelaki Penggenggam Hujan karya Tasaro GK (2017), Hamka (Haidar Musyafa:2016) dan Sang Mujtahid Islam Nusantara K.H Abdul Wahid Hasyim (Aguk Irawan, M.N:2016) sekali gus merancakkan senario penulisan biografi di Indonesia.

Malaysia, walaupun sudah wujud tradisi penulisan novel biografi namun tidak pula menamakan naskhah itu sebagai novel biografi sebaliknya menggunakan istilah hikayat atau novel sejarah seperti Hikayat Hang Tuah (biografi) atau Hikayat Munsyi Abdullah (autobiografi).

Artikel Berkaitan:

Malahan Abdul Latip Talib yang banyak mengarang buku bercorak biografi seperti Bilal Bin Rabah (2018) dan Hamka (2014), Shafie Abd. Rahman (Raja Haji:2013), Azzah AR (Shamsiah Fakeh: 2011) menamakan karya mereka sebagai novel sejarah sedangkan di Indonesia teks begini dijenamakan sebagai novel biografi.

Jeniri Amir mentakrifkan novel biografi sebagai novel tentang perjalanan hidup atau perjuangan seseorang, dengan memberi perhatian kepada pengalaman dan cabaran serta perjuangannya dalam peristiwa tertentu (2013).

Resolusi

Justeru itu dilihat biografi dan sejarah seakan-akan tiada perbezaan tetapi penulisan biografi atau riwayat hidup mengutamakan fakta mengenai seseorang tokoh dari sejak lahir hingga kematiannya (jika telah meninggal dunia) manakala skop sejarah pula mementingkan peristiwa, akibat dan padanannya dengan sejarah negara.

Perkataan biografi mula digunakan di England pada tahun 1683.

Dryken mentakrifkannya sebagai sejarah hidup seseorang manusia tertentu. Pentakrifan Dryken itu tidak menyekat ruang lingkup penulisan biografi yang boleh digarap secara kreatif mahupun non-kreatif.

Jika kreatif menjadi sebuah novel sebaliknya tulisan berbentuk non-kreatif dianggap sebagai dokumen dan akhirnya disifatkan sebagai buku sejarah. Biografi adalah riwayat hidup atau cerita manusia.

Sirah Nabi Muhammad S.A.W itu adalah biografi dan jika dipanggil biografi Nabi Muhammad juga bertepatan dengan maksudnya.

Penerbitan biografi amat penting bagi sesebuah negara kerana rakaman warisan yang berkait dengan tamadun negara dapat diperoleh menerusi karya biografi.

Hakikat ini disedari oleh PPBM lantas mengambil ketetapan meluluskan 14 resolusi yang antara lain menjadikan penerbitan biografi sebagai warisan negara dalam konteks pengiktirafan terhadap sumbangan tokoh-tokoh tertentu kepada negara.

Di samping itu, PPBM juga mencadangkan penubuhan Yayasan Biografi Negara serta menyediakan dana penyelidikan dan dalam pada itu turut diperluaskan konsep penerbitan biografi kepada autobiografi, memoir, travelog dan hikayat lama berkaitan biografi di samping menjadikan karya biografi sebagai bacaan asas dalam Komponen Sastera (KOMSAS) pelajar sekolah menengah.

Resolusi PPBM juga menyarankan pihak tertentu mempromosi dan memperkenalkan penulis biografi dan karyanya, beri pengiktirafan atau anugerah malah mewujudkan program karyawan tamu di universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta perpustakaan-perpustakan negeri bagi tujuan memperbanyakkan penyelidikan, penulisan dan penerbitan biografi.

Sejarah

Penulisan biografi di negara ini bermula agak baharu berbanding dengan perkembangan yang berlaku di Eropah dan Amerika. Cerita-cerita Pak Pandir, Lebai Malang, Mat Jenin atau Pak Kadok merupakan karya biografi walaupun kita mengenali kisah mereka sebagai karya sastera jenaka.

Tulisan Abdullah Munsyi tentang kisah Nakhoda Muda juga dianggap sebagai karya biografi yang terawal di Malaysia.

Kini perkembangan penerbitan biografi di negara ini agak sederhana namun diterima oleh masyarakat sebagai buku penting untuk dibaca, misalnya A Doctor in the House karya Tun Dr Mahathir Mohammad muncul salah sebuah memoir terlaris di samping Memoir on the Formation of Malaysia karya Tun Ghazali Shafei dirujuk sebagai bahan sejarah pembentukan Malaysia.

Justeru, Baha Zain (Dewan Sastera, 2014) menyifatkan biografi adalah kisah pengalaman manusia sekali gus menjadi sejarah negara dari sudut cermin hati nurani bangsa.

Pandangan Baha Zain itu berpadanan dengan kepengarangan Sasterawan Negara, Abdullah Hussain dengan membawa kisah hidupnya ke dalam beberapa buah novel biografi seperti Sebuah Perjalanan (1984), Perjalanan Mencari Bahasa (2001), Perjalanan Mencari Hikmah (2003) dan Perjalanan Mencari Diri (2004).

Biografi, autobiografi, memoir dan prosopografi merupakan khazanah sesuatu bangsa yang merakamkan fakta dan peristiwa serta tindakan pelakon sejarah yang mengitari subjek.

Jelas sekali antara biografi dan fakta sejarah saling bercampur di antara satu dengan yang lain di samping saling melengkapi susun suai gambar (jigsaw puzzle) untuk dicantumkan bagi memaparkan gambaran sejarah yang lebih besar. Justeru penerbitan biografi amat penting untuk merakamkan detik-detik sejarah sesebuah negara bangsa.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)