Kerajaan cadang guna kaedah inokulasi pada pokok getah: Zuraida

Zuraida (tengah) menyampaikan Bantuan Prihatin Majlis Getah Malaysia (MRC) kepada pekebun kecil getah Halimah Isa, 56, (kanan) sempena Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia 2021 di Kampung Kepah, Hulu Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
Zuraida (tengah) menyampaikan Bantuan Prihatin Majlis Getah Malaysia (MRC) kepada pekebun kecil getah Halimah Isa, 56, (kanan) sempena Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia 2021 di Kampung Kepah, Hulu Terengganu pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA BERANG - Kerajaan bercadang menggunakan kaedah inokulasi atau penyuntikan pada batang pokok getah bagi membolehkan aktiviti menoreh dapat diteruskan walaupun pada musim tengkujuh.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, kaedah tersebut sedang dalam tempoh percubaan di beberapa kawasan ladang getah termasuk di Melaka dan ia dijangka diperkenalkan kepada pekebun kecil dalam tempoh setahun lagi.

“Kita panggil kaedah ini sistem inokulasi seperti ‘injection’ atau cucuk dekat batang getah itu dan ada tiub masuk ke dalam bekas yang bertutup. Jadi kalau hujan, dia (pekebun kecil) tidak perlu susah hati lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia di Kampung Kepah di sini pada Sabtu.

Zuraida berkata, kementeriannya juga sedia memberi bantuan kewangan kepada pekebun kecil untuk membeli alat bagi kaedah inokulasi tersebut yang dijangka berharga antara RM10 hingga RM20 seunit.

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang meneliti untuk menggunakan sejenis cecair kimia yang boleh diletakkan pada saluran torehan di pokok getah bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil getah.

Sementara itu, Zuraida berkata, kementeriannya juga akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang menguruskan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi mencari kaedah menaikkan harga lantai getah sekerap.

Kebelakangan ini beberapa pihak menyuarakan isu tersebut, termasuk Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di dalam Dewan Rakyat yang menyarankan kerajaan mempertimbang untuk menetapkan harga lantai getah sekerap pada paras RM3.50 sekilogram sebagai langkah jangka panjang meningkatkan pendapatan pekebun kecil sektor itu.

Abdul Azeez berkata, jika dilaksanakan, ia mampu meningkatkan purata pendapatan pekebun kecil getah kepada kira-kira RM2,625 sebulan berbanding kurang daripada RM1,500 sebulan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Jelajah Agrikomoditi #Keluarga Malaysia itu, Zuraida berkata, ia merupakan inisiatif kementeriannya untuk berkongsi maklumat dan mengambil maklum keperluan para penoreh getah.

Katanya, program seumpama itu amat penting memandangkan sumbangan penoreh getah sangat penting kepada pembangunan ekonomi negara sejak sebelum merdeka dan getah kini merupakan sumber eksport keenam terbesar negara. - Bernama