Royalti minyak: Kelantan mohon penjelasan kerajaan pusat

Datuk Ahmad Yaakob
Datuk Ahmad Yaakob
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Kelantan memohon penjelasan lanjut daripada kerajaan Persekutuan membabitkan isu wang ihsan atau royalti petroleum negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata, kerajaan negeri memandang serius jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu.

“Kita memohon penjelasan lebih lanjut daripada kerajaan Persekutuan kerana jawapan tersebut dilihat tidak selari dengan kenyataan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Untuk rekod, kerajaan Persekutuan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan akan memansuhkan Program Wang Ihsan dan Bayaran Tunai Petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

“Bayaran tunai dan hasil pengeluaran bagi negeri Kelantan telah diperakui oleh kerajaan Persekutuan dalam persidangan Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019 dan 28 Julai tahun lalu oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu royalti petroleum: Kelantan terkejut kenyataan Tengku Zafrul

Tengku Zafrul dilaporkan berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Menteri Kewangan itu berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.

Namun begitu, memandangkan lokasi medan petroleum berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka Kerajaan Persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa bayaran tunai merupakan kaedah yang tepat berdasarkan peruntukan jelas dalam perjanjian 1975 antara kerajaan negeri dan Petronas selaras dengan pendirian dan keputusan kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Katanya, kerajaan negeri percaya pendirian itu berlandaskan semangat federalism dan Keluarga Malaysia untuk kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat Kelantan.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Keluarga Malaysia di Kompleks Kota Darulnaim memberitahu, permohonan penjelasan berkenaan akan dihantar kepada Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

Beliau juga memberitahu, kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilakukan minggu lalu juga ada membincangkan jawapan menteri dalam Parlimen membabitkan tunai petroleum kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Saya berhasrat untuk menuntut supaya diberi tunai selepas ini. Setakat ini, jawapan pihak kewangan tidak sama seperti yang kita harapkan,” katanya.