282 produk tidak berdaftar, kosmetik tidak bernotifikasi dirampas

Datuk Dr Ding Lay Ming
Datuk Dr Ding Lay Ming
A
A
A

IPOH - Sebanyak 282 jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM380,000 hasil serbuan di lima premis di Taiping pada Rabu lalu.

Serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Jabatan Kesihatan Negeri Perak itu dilakukan selepas menerima maklumat bahawa terdapat penjualan keluaran yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi oleh pemilik premis terlibat.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, hasil pemeriksaan mendapati, empat daripada lima premis itu mempunyai keluaran dan kosmetik yang menyalahi undang-undang.

"Produk yang dirampas ini merangkumi pelbagai keluaran dan kosmetik yang tidak berdaftar dan tidak bernotifikasi.

"Pemeriksaan awal mengesyaki semua premis yang diserbu ini merupakan satu rangkaian pengedar terbesar keluaran-keluaran berkenaan ke pasaran sekitar Perak dan seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, individu atau syarikat yang didapati terbabit dalam menjual ubatan dan kosmetik berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Katanya, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

"Selain itu, boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan mana-mana individu atau syarikat yang menjual produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi supaya menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya serta-merta memandangkan produk ini tidak terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya.

"KKM menyarankan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membeli produk kesihatan atau kosmetik di media sosial.

"Lebih penting berhati-hati dan sama sekali tidak menggunakan keluaran tidak berdaftar dan kosmetik yang tidak bernotifikasi," katanya.

Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik sebelum membeli dengan melayari laman sesawang https//www/npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.