Afrika Selatan kesan varian baharu

Kadar vaksinasi Covid-19 populasi di Afrika masih rendah berbanding rantau lain di dunia. - Foto Agensi
Kadar vaksinasi Covid-19 populasi di Afrika masih rendah berbanding rantau lain di dunia. - Foto Agensi
A
A
A

JOHANNESBURG - Saintis di Afrika Selatan pada Khamis mengenal pasti varian baharu Covid-19 yang dikhuatiri lebih mudah menular berbanding Delta dan mungkin menjejaskan tahap keberkesanan vaksin sedia ada.

“Kami telah mengesan virus bermutasi baharu yang kini mencetuskan kebimbangan di Afrika Selatan selepas varian Beta dikenal pasti sebelum ini.

“Varian yang dilabel dengan nama saintifik, B.1.1.529 itu mempunyai jumlah mutasi yang sangat tinggi dan telah menyebabkan lonjakan,” kata ahli virologi, Tulio de Oliveira merujuk kepada jumlah kes jangkitan harian di negara tersebut yang telah meningkat 10 kali ganda sejak awal bulan lalu.

Susulan pengumuman itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan ia kini sedang mengawasi perkembangan varian tersebut dengan teliti dan dijangka bersidang untuk menentukan sama ada B.1.1.529 adalah varian berkepentingan (VOI) atau varian membimbangkan (VOC).

Pada Rabu, jumlah kes harian telah mencecah 1,200 kes berbanding 106 kes yang direkodkan pada awal bulan lalu selepas Institut Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NICD) mencatatkan 22 kes varian baharu.

NICD menjelaskan jumlah kes yang dikesan dan peratusan kes positif melonjak dengan cepat di Gauteng, Johannesburg dan Pretoria.

Sebelum ini, pihak berkuasa pernah memberi amaran gelombang keempat jangkitan Covid-19 dijangka melanda Afrika Selatan pada pertengahan Disember ketika rantau itu masih bergelut dengan program vaksinasi.

Difahamkan, kluster wabak itu telah dikenal pasti di sebuah institut pendidikan tinggi di Pretoria.

Artikel Berkaitan:

Sebelum varian baharu itu dikesan, pihak berkuasa pernah memberitahu gelombang keempat dijangka melanda Afrika Selatan pada pertengahan Disember.

Pada tahun lalu, varian Beta yang pertama kali dikesan di negara itu didakwa tidak menjadi ancaman utama berikutan Delta yang menjadi varian dominan global menyumbang sebahagian besar kes jangkitan yang dilaporkan. - AFP


INFO


- Ia pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

- Laporan awal mendapati varian tersebut menyebabkan lonjakan kes di Gauteng, wilayah berpopulasi paling padat dengan 15 juta penduduk.

- Kes varian B.1.1.529 itu turut dikesan di Bostwana dan Hong Kong melibatkan seorang lelaki berusia 36 tahun yang melakukan perjalanan ke Afrika Selatan pada 11 November lalu dan disahkan positif dua hari kemudian ketika menjalani kuarantin. Ia kemudian menjangkiti seorang lelaki lain berusia 62 tahun yang tinggal di bilik berasingan di hotel sama.

- Israel merekodkan tiga kes jangkitan B.1.1.529 dan salah satu daripadanya melibatkan individu yang baru pulang dari Malawi

- Sebagai langkah berjaga-jaga, Britain melarang perjalanan dari Afrika Selatan dan lima negara lain di selatan Afrika.

- Singapura dan Itali menyekat kemasukan pengembara yang mempunyai rekod sejarah perjalanan ke beberapa negara Afrika.