Kerajaan campuran: Bukti Husam bercakap benar

Husam
Husam
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa gembira berhubung penyatuan Pas dan UMNO kerana perkara itu pernah didedahnya sehingga menjadi salah satu punca beliau dipecat daripada Pas.

Katanya, sebelum ini pendedahan hubungan UMNO dan Pas pernah dibuatnya sejak 2015 namun beliau dipecat kerana dakwaan tersebut.

“Jadi persetujuan Pas-UMNO untuk ada pakatan bersama daripada satu segi, saya yang paling gembira kerana saya dah sebut perkara ini sejak 2015.

“Saya telah dipecat daripada Pas kerana mendakwa ada hubungan politik antara Pas dan UMNO, ia jadi salah satu sebab saya dipecat kerana dituduh membuat dakwaan palsu. Kini, dakwaan palsu saya adalah benar, jadi saya sangat gembira kerana bercakap benar dan membuktikan saya mempunyai integriti,” katanya ketika ditemui media di Parlimen, hari ini.

Husam yang juga Ahli Dewan Negara berkata, sebelum ini pemimpin Pas menyembunyikan perkara ini dan bercakap tidak benar kepada ahli-ahli mereka.

Dalam pada itu, Husam turut mendakwa Pas akan berdepan masalah untuk berkongsi rahsia kerajaan negeri dengan parti lain termasuk UMNO selepas pelaksanaan kerajaan campuran.

Katanya, pada peringkat awal mungkin Pas tiada masalah untuk melantik dan dilantik tetapi kelak, Pas akan berdepan masalah apabila rahsia kerajaan negeri terpaksa dikongsikan dengan parti lain.

“Rahsia ini termasuklah kelulusan pembalakan, kelulusan perlombongan, pengagihan peruntukan dan jawatan lebih rendah seperti ahli lembaga perbadanan, pemimpin peringkat kampung.

Artikel Berkaitan:

“Di sini Pas akan tunjukkan sikap sebenar, bila sampai peringkat ini, Pas tak boleh bertolak ansur dengan rakan kongsi, tetapi saya tidak halang gabungan Pas dan UMNO ini, saya alu-alukan,” ujarnya.

Husam bagaimanapun, masih belum jelas perincian gabungan Pas dan UMNO kerana baru dinyatakan secara umum.

“Kita nak tahu juga asas penyatuan dua parti ini, adakah mereka akan menentang rasuah , tidak akan berkompromi dengan pesalah jenayah rasuah atau hanya atas sentimen Melayu sahaja,” katanya.

Pada 23 April 2016 lalu, Pas memecat Husam dan menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Pas, Dr Sanusi Daeng Mariok berkata tindakan tersebut diambil setelah mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira kepentingan parti dan perjuangannya.

“Jawatankuasa Tatatertib Pas yang bersidang pada 23 April 2016 mendapati Husam melakukan tindakan dan perbuatan yang melanggar Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f) Perlembagaan Pas.

“Berdasarkan peruntukan Fasal 82(6)(d) Perlembagaan Pas (Pindaan 2011) Jawatankuasa Tatatertib Pas membuat keputusan mengambil tindakan tatatertib ke atas Husam iaitu memecatnya sebagai ahli Pas berkuat kuasa pada hari keputusan,” katanya.

Beliau sebelum ini menjawat jawatan Naib Presiden Pas lantang mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan UMNO serta kepimpinan parti berhubung isu hudud.

Malah, Husam sebelum ini juga dilihat sepentas dalam program parti serpihan Pas sempena majlis makan malam anjuran Amanah Kelantan di Petaling Jaya, Januari 2016.