X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Lelaki maut bergaduh gara-gara pembesar suara

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
A
A

IPOH - Polis menahan tiga individu termasuk dua beranak disyaki terlibat dalam pergelutan yang membawa kematian seorang lelaki di pasar pagi Flat Jalan Ashby di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa dikenali Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, disahkan maut di tempat kejadian dipercayai akibat 'dikunci' leher ketika pergaduhan itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kerana suspek tidak berpuas hati dengan mangsa yang dikatakan mencuri pembesar suara milik seorang daripada mereka.

Menurutnya, berlaku pertengkaran mulut dan pergelutan antara mangsa dan suspek yang berusia 34, 47 dan 60 tahun.

"Salah seorang suspek tidak berpuas hati telah menemui mangsa bersama pembesar suara berkenaan sebelum berlaku pertengkaran.

"Leher mangsa telah dicekak dari belakang sebelum dilepaskan. Difahamkan mangsa juga mempunyai masalah mental," katanya ketika ditemui pada program Hi Profile Policing (HPP) Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (dalam talian) 2021 di AEON Kinta City di sini.

Mior Faridalathrash berkata, pihaknya turut merampas sebilah pisau lipat yang ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, permohonan reman terhadap ketiga-tiga suspek akan dilakukan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, mangsa yang juga penduduk setempat sering bersarapan di gerai terbabit.

"Pagi tadi memang ada lelaki mencari mangsa dan awalnya berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum bergelut.

"Kemudian datang lagi seorang lelaki memaut leher mangsa yang tertiarap. Kami minta dia lepaskan tapi dia enggan hinggalah anggota polis tiba," katanya.

Katanya, walaupun mangsa dikatakan tidak siuman tetapi dia tidak pernah mengganggu penduduk lain.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!