Lima individu termasuk seorang wanita ditahan dalam kes gaduh

Kes pergaduhan sekumpulan individu tular di laman sosial.
Kes pergaduhan sekumpulan individu tular di laman sosial.
A
A
A

AMPANG - Seramai lima individu termasuk seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan sekumpulan individu di Taman Seraya di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua individu berusia 16 hingga 48 tahun itu ditahan di Taman Bukit Teratai dan Taman Pandan Mewah, pada Rabu.

Katanya, dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, sekumpulan individu bertengkar dipercayai akibat salah faham.

Beliau berkata, polis merampas sebuah lori dan sebuah kereta serta senjata-senjata yang digunakan semasa kejadian.

"Kesemua tangkapan negatif dadah dalam ujian saringan air kencing.

"Bagaimanapun, hasil semakan rekod lampau mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai satu rekod lampau jenayah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohamad Farouk, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata.

"Sebarang maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Asri Ismail di talian 0104068158 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya

Artikel Berkaitan: