Klopp puji aksi memukau Morton

 Morton.- Foto Reuters
Morton.- Foto Reuters
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memuji prestasi pemain remaja Liverpool Tyler Morton, sambil menyifatkan pemain muda itu cemerlang pada penampilan pertamanya dalam saingan liga Juara-Juara pada malam Rabu.

Pemain berusia 19 tahun itu bermain di posisi tengah sepanjang 90 minit perlawanan ketika The Reds menewaskan Porto 2-0.

Morton sebelum ini berjaya membuat penampilan sulung Liga Perdana pada Sabtu lepas apabila dia masuk sebagai pemain gantian pada minit terakhir perlawanan ketika Liverpool mencatatkan kemenangan 4-0 ke atas Arsenal.

Menurut Klopp, dia gembira Morton dapat membalas kepercayaan yang diberikan dengan memberikan persembahan mengagumkan dan kelihatan tenang bersama Thiago Alcantara dan Alex Oxlade-Chamberlain di bahagian tengah.

"Jika seseorang itu tersenarai di dalam skuad maksudnya dia seorang pemain hebat.

"Saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini dan saya tidak akan membenarkan mana-mana pemain sekiranya mereka belum bersedia untuk diturunkan.

"Dengan Neco (Williams) kita tahu dia boleh bermain di tahap tersebut, tetapi Morton saya rasa dunia di luar sana mungkin terkejut tetapi dia melakukannya dengan sangat baik.

"Dia cergas dan tidak perlu direhatkan untuk apa-apa perlawanan. Dia seorang pemain yang hebat dan saya sangat gembira dia boleh mempamerkan persembahan seperti ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah sebelum perlawanan menentang Porto, Klopp telah memuji bintang muda yang disifatkan sebagai seorang yang bijak dan mempunyai ciri-ciri diperlukan sebagai seorang pemain tengah.

Morton juga merupakan salah satu pertukaran yang dilakukan Klopp kepada kesebelasan utama Liverpool pada perlawanan itu apabila memasukkan Neco Williams dan Ibrahima Konate.

Pada perlawanan yang berlangsung di Anfield, tuan rumah tidak mempunyai masalah untuk mendominasi permainan meskipun turun 'tempang' dengan kehilangan beberapa pemain utama.

The Reds berjaya mendapatkan jaringan pertama pada separuh masa kedua yang dijaringkan Thiago selain gol Mohamed Salah memastikan kemenangan 2-0 Liverpool yang menyaksikan Liverpool berjaya mengutip 15 mata untuk terus memimpin grup B