Panik tak punya wang jelaskan bil bersalin isteri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Gara-gara panik tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil isterinya yang baharu bersalin, seorang pekerja am nekad memecahkan cermin sebuah pacuan empat roda setelah mendapati terdapat beberapa wang kertas di dalam kenderaan tersebut.

Bagaimanapun tindakannya itu mengundang padah apabila dia dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Majistret, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Aizat Sulaiman selepas mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara lima bulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Muhammad Aizat,31, dihantar ke Penjara Sungai Buloh selepas gagal menjelaskan denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan dia mengaku memecahkan cermin kereta pacuan empat roda pada bahagian kiri milik D Karunagaran, 31.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi Jalan PJU 5/10, Kota Damansara, di sini, jam 2.30 pagi, pada 5 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Baizura Mohd Soubian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh.

Muhammad Aizat dalam rayuannya merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan penanggung tunggal keluarga dan telah insaf.