X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 27 November 2021

Restoran beri penjelasan, pertahan harga dua sotong RM100

Perkongsian pelanggan tersebut mendapat perhatian ramai sehingga tular di laman sosial - Foto media sosial
A
A

GEORGE TOWN - Restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Restoran Hameediyah yang tular menerusi media sosial kerana menjual dua ekor sotong goreng berharga RM100 pada Rabu mempertahankan harga tersebut berdasarkan kos bahan mentahnya.

Pengarah Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, beliau terpanggil untuk memberi penjelasan berhubung harga dua ekor sotong yang tular itu selepas restoran berkenaan menerima kecaman daripada warga maya sedangkan pihaknya membeli sotong segar pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah.

"Harga sotong goreng itu tular selepas satu pasangan membeli dua set nasi berlaukkan sotong di restoran kami semalam dan kemudian seorang daripada mereka (pasangan itu) berkongsi di laman sosialnya sehingga mendapat perhatian ramai, sotong yang kami gunakan untuk hidangan sotong goreng apollo itu bukan murah.

"Sebenarnya harga kesemua makanan yang dijual di restoran kami disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150 seekor berdasarkan saiznya," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sejak semalam tular menerusi media sosial seorang individu memuat naik gambar nasi beriani berlaukkan sotong dan sekeping resit yang memaparkan harga dua ekor sotong goreng di sebuah restoran nasi kandar terkenal di Pulau Pinang adalah RM100.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya telah membuat pemeriksaan di restoran tersebut pada Rabu dan mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!