Sotong goreng RM100: Pengusaha restoran diberi notis

Resit makanan daripada restoran berkenaan yang tular di laman sosial pada Rabu.
Resit makanan daripada restoran berkenaan yang tular di laman sosial pada Rabu.
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis pengesahan maklumat barangan terhadap pengusaha restoran nasi kandar terkemuka di negeri ini yang menjual dua ketul sotong goreng dengan harga RM100.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, notis berkenaan dikeluarkan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng terbabit.

Menurutnya, selepas isu berkenaan tular di laman sosial, tiga pegawai penguatkuasa KPDNHEP Pulau Pinang telah ke restoran berkenaan di Lebuh Campbell di sini pada Rabu bagi menjalankan pemeriksaan.

"Semasa pemeriksaan pegawai penguat kuasa telah merakam percakapan peniaga mengenai isu yang tular bagi membantu siasatan lanjut.

"Pengusaha dikehendaki memberikan maklum balas notis dalam tempoh dua hari bekerja atau sehingga 26 November ini kepada pejabat Cawangan Timur Laut," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mohd Ridzuan berkata, sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha restoran terbabit boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Artikel Berkaitan:

Dua sotong goreng berharga RM100 menjadi tular di laman sosial pada Rabu.
Dua sotong goreng berharga RM100 menjadi tular di laman sosial pada Rabu.

Jelasnya, kegagalan mematuhi arahan itu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti RM100,000 jika melibatkan suatu pertubuhan perbadanan.

Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP Pulau Pinang sentiasa memandang serius sebarang isu kenaikan harga atau berunsur pencatutan yang dilakukan peniaga.

"Sekiranya berlakunya sebarang kenaikan harga yang tidak munasabah, pengguna disarankan membuat laporan rasmi kepada pihak kementerian," jelas beliau.

Pada Rabu, tular di media sosial memaparkan resit menu makanan di restoran terbabit yang didakwa mengenakan harga tidak munasabah.

Salinan resit berkenaan menunjukkan harga bagi dua ekor sotong goreng ialah RM100, manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, selain nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2).

Sementara itu, Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim menjelaskan, harga kesemua makanan dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150.

“Saya yang mengambil pesanan individu ini dan pasangannya. Mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.

“Sotong goreng ‘apollo’ ini tidak murah. Kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram, malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” jelas beliau.