SOP PRN Melaka tanda aras pelaksanaan PRN Sarawak

Ismail (kiri) bertanyakan soalan kepada Nik Ahmad Kamal (kanan) pada program Wacana Sinar edisi ke-306 yang bertajuk Sabau Ler...Ini Pilihan Melaka yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Ismail (kiri) bertanyakan soalan kepada Nik Ahmad Kamal (kanan) pada program Wacana Sinar edisi ke-306 yang bertajuk Sabau Ler...Ini Pilihan Melaka yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Terdapat pengajaran boleh diambil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung baru-baru ini khususnya berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilaksanakan dengan lebih mantap dan tegas.

Pakar Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, ini kerana SOP yang diamalkan dalam PRN Melaka merupakan satu tanda aras yang boleh dilaksanakan dalam PRN Sarawak yang akan berlangsung kelak.

“Keperluan penguatkuasaan itu amat diperlukan sekali sebab itulah mereka yang berkuasa seperti polis perlu mengambil tindakan lebih keras.

“Kalau pemimpin yang melakukan kesalahan dan pemimpin itu tidak diambil tindakan maka nampak jelas bahawa penguatkuasaan itu tidak dilakukan secara serius.

“Kita tidak mahu ini dijadikan suatu modal untuk menjatuhkan reputasi pihak berkuasa. Itu kita tidak mahu,” katanya

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Edisi ke-306 yang bertajuk 'Sabau Ler...Ini Pilihan Melaka' yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah dan Bendahari Dewan Perniagaan Melayu Melaka, Hezri Sardi manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, walaupun keadaan Sarawak berlainan dari segi kawasannya yang jauh tetapi SOP perlu dilaksanakan dengan konsisten oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

“Kita tahu bahawa ada ura-ura yang mengatakan bahawa SOP akan dilonggarkan di Sarawak kerana keadaan Sarawak yang berlainan di mana terdapat kawasan-kawasan yang jauh dan memerlukan tindakan berlainan serta parti-parti politik mahukan kelonggaran sedikit dari segi kempen.

“Saya pasti ia boleh dibuat dengan syarat bahawa jika berlaku kesalahan yang bertentangan dengan SOP, maka perlu diambil tindakan dan tidak boleh pilih bulu.

“Rakyat melihat apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa dan dalam keadaan media sosial sering menjadi punca memaparkan suasana yang sebenar, maka kita perlu berhati-hati bahawa tindakan yang diambil adalah tindakan yang adil,” jelasnya.