Pendirian parti: Pas Johor serah kepada pimpinan tertinggi

Abdullah
Abdullah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pas Johor menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pimpinan parti sama ada mahu bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) atau UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin berkata, perkara itu bagi membolehkan perbincangan dibuat terlebih dahulu selain mengambil kira pelbagai faktor termasuk situasi parti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

“Pas Johor buat masa ini mengambil pendekatan untuk lihat dahulu, dan semua perkara kita serahkan kepada penilaian parti di peringkat pusat. Ini juga untuk membolehkan sebarang keputusan dibuat secara saksama.

“Jika keputusannya bersama UMNO dalam MN atau Bersatu sekali pun, kita tiada masalah dan akur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Sebelum ini, Pas menerusi Naib Presidennya, Idris Ahmad memaklumkan parti berkenaan dijangka menentukan hala tuju parti itu sama ada terus bersama PN, MN dalam tempoh terdekat.

Perkara itu dipercayai dibangkitkan pelbagai pihak susulan kegagalan parti berkenaan meraih sebarang kerusi ketika bersama gagasan PN dalam PRN Melaka pada Sabtu.

Abdullah berkata, pihaknya yakin bahawa ahli terutama di peringkat akar umbi juga tidak mempunyai sebarang masalah berhubung keputusan parti dalam menentukan haluan mereka.

“Perkara ini adalah pilihan bersama, jadi bagi kami tiada masalah kerana di Johor sendiri ahli-ahli tidak mempunyai masalah dan ada hubungan baik dengan UMNO mahupun Bersatu dalam PN.

Artikel Berkaitan:

“Kita sudah lalui pelbagai cabaran bersama ketika sebagai pembangkang dan ketika berada dalam kerajaan. Jadi, sebarang keputusan selepas ini saya yakin ia telah diselesaikan dengan sebaiknya,” ujar beliau.

Sementara itu, ditanya mengenai keputusan PRN Melaka, Abdullah yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang memaklumkan kegagalan itu bukan gambaran keseluruhan mengenai masa hadapan Pas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Apa yang berlaku di Melaka bukan gambaran penuh, untuk calon Pas sendiri kita maklum bahawa terdapat peningkatan besar bagi setiap undian yang diberikan rakyat di kawasan masing-masing.

“Apa pun saya yakin pimpinan pusat mempunyai rancangan dan akan kaji lagi apa diperlukan pada masa akan datang (PRU), kita tetap bersama serta muhasabah apa yang telah berlaku,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:Pas Selangor beri bayangan kekal pertahan Muafakat Nasional

ARTIKEL BERKAITAN:Isu PN atau MN: Pas Kedah ikut keputusan pusat