Pas Selangor beri bayangan kekal pertahan Muafakat Nasional

Dr Ahmad Yunus Hairi
Dr Ahmad Yunus Hairi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas Selangor memberi bayangan akan terus mempertahankan gabungan parti berteraskan Melayu di negeri berkenaan termasuk mengukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, malah UMNO Selangor sebelum ini juga mempunyai hasrat sama iaitu untuk terus memperkukuhkan MN di negeri berkenaan.

"Pas dan UMNO mempunyai kekuatan masing-masing di Selangor, kalau berpecah saya ingat ini merugikan orang-orang Melayu.

"Kita tidak menafikan hak orang Cina dan India, tetapi dari sudut politiknya, politik berteraskan Melayu Islam akan rugi kalau pertembungan antara Pas dan UMNO," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai masa depan hubungan Pas dan UMNO di negeri Selangor berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, beliau berkata, hubungan Pas dan UMNO di Selangor adalah baik, namun dalam soal kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ia tetap bergantung kepada keputusan Pas Pusat.

"Keputusan dengan siapa Pas bergabung PRU15, apa pun ini adalah keputusan Pas Pusat dan Pas di Selangor berpandangan perlu ada kebersamaan antara Pas dan UMNO," katanya.

Pada 6 Oktober, Pas dan UMNO Selangor membuat ketetapan untuk terus mempertahan dan mengukuhkan MN sebagai persediaan untuk mengambil alih kerajaan negeri pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Yang Dipertua Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menerusi kenyataan bersama berkata, perkara itu dicapai ketika mesyuarat MN yang diadakan.

Mereka berkata, mesyuarat bersetuju untuk terus memperkasa dan mengukuhkan lagi hubungan antara UMNO dan Pas di semua peringkat di negeri itu atas platform MN.

"Malah, aktiviti dan program bersama atas nama MN akan terus dirancak bagi mengukuhkan hubungan kedua-dua parti di Selangor," kata mereka menerusi kenyataan bersama itu.