Mahkamah Persekutuan tolak permohonan ahli perniagaan direman POCA

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli perniagaan, Goh Leong Yeong yang direman di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 gagal dalam permohonannya untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan untuk writ habeas corpus dikeluarkan untuk pembebasannya.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara menolak permohonan semakan Leong Yeong untuk semakan semula keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu.

Dua lagi hakim ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Seorang daripada peguam Leong Yeong, Jacky Loi Yap Loong ketika dihubungi Bernama mengesahkan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan itu.

Mahkamah memutuskan Leong Yeong gagal memenuhi kriteria menurut Aturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

Dalam permohonan semakannya yang difailkan pada 2 Ogos lepas, Leong Yeong memohon untuk mengetepikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan berhubung perintah reman awalnya yang diperintah selama 21 hari dari 31 Oktober tahun lepas mengikut Seksyen 4(1)(a) POCA adalah sah dan mahu panel Mahkamah Persekutuan yang lain mendengar rayuannya.

Leong Yeong, 33, sekarang ditahan selama dua tahun di Penjara Simpang Renggam di bawah POCA.

Pada Julai tahun ini, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Abdul Rahman Sebli dalam keputusan majoriti 2-1, menolak rayuan Leong Yeong supaya writ habeas corpus dikeluarkan untuk pembebasannya daripada tahanan.

Artikel Berkaitan:

Pada November tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Leong Yeong untuk habeas corpus selepas bersetuju dengan bantahan awal yang dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan Muhammad Sinti, bahawa permohonan Leong Yeong telah menjadi akademik kerana dia kini ditahan di bawah perintah berbeza iaitu di bawah POCA.

Leong Yeong pada mulanya direman selama 21 hari bermula 31 Oktober tahun lepas mengikut Seksyen 4(1)(a) POCA untuk membantu siasatan berhubung sindiket perjudian dalam talian yang didakwa menyalahi undang-undang. Dia kemudiannya ditahan selama 38 hari di bawah Seksyen 4(2) (a) POCA.

Leong Yeong memfailkan permohonan habeas corpus itu dengan menamakan pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Khairul Fairoz Rodzuan, seorang Majistret di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia selaku responden.

Prosiding pada Selasa dijalankan secara dalam talian, pasukan peguam Leong Yeong diketuai Datuk Seri Gopal Sri Ram, manakala Peguam Kanan Persekutuan Muhammad, Farah Ezlin Yusop dan Nur Jihan Azman serta Peguam Persekutuan Anasuha Atiqah Mat Saidi mewakili responden. - Bernama