Dominic, Nelson angkat sumpah ahli Dewan Negara

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) bergambar bersama Pengarah TalentCorp Senator Datuk Nelson Renganathan (kiri) dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Dewan Negara hari ini.- Foto Bernama
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim (tengah) bergambar bersama Pengarah TalentCorp Senator Datuk Nelson Renganathan (kiri) dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai selepas upacara mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara di Dewan Negara hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Pengarah TalentCorp Malaysia Datuk Nelson Renganathan mengangkat sumpah sebagai senator di Dewan Negara di sini pada Selasa.

Mereka berdua adalah lantikan baharu yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkuat kuasa Selasa hingga 22 November 2024.

Upacara mengangkat sumpah dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Dominic, 54, berkelulusan peringkat doktor falsafah (PhD) Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) manakala Nelson, 59, mempunyai Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari University of Hull, United Kingdom dan pernah menjawat Pengerusi Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF).

Pada sidang akhbar selepas majlis itu, Dominic berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memperkenan pelantikan beliau dan berjanji akan membela hak rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum.

Nelson pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada MIC kerana mencalonkan dirinya bagi jawatan senator dan berharap dapat menyumbang dalam bidang pendidikan swasta serta memperjuangkan isu warga emas.

Rais sebelum itu ketika berucap pada majlis itu berharap kedua-dua senator berkenaan dapat mengalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin kerana Dewan Negara sedang melalui fasa transformasi yang memerlukan penglibatan dan penyertaan aktif ahlinya secara menyeluruh supaya peranan Dewan Negara dalam memperjuangkan suara rakyat menjadi tersohor serta dihormati.

Beliau juga memaklumkan, Dewan Negara sudah mempunyai tiga Jawatankuasa Pilihan Khas yang mempunyai kuasa perundangan iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Khas Sosiobudaya, Komunikasi dan Pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Ketiga-tiga jawatankuasa ini merupakan sekutu kepada agenda transformasi Parlimen, yang insya-ALLAH saya yakin dapat direalisasikan pembaharuan ini seawal tahun depan dengan komitmen sudah pun diberikan pihak Eksekutif,” katanya. - Bernama