Banjir kilat terburuk landa Bukit Belacan

Keadaan banjir kilat yang melanda Bukit Belacan pada Isnin (gambar ihsan Facebook Mohd Sharif).
Keadaan banjir kilat yang melanda Bukit Belacan pada Isnin (gambar ihsan Facebook Mohd Sharif).
A
A
A

AMPANG - Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Bukit Belacan di sini disifatkan terburuk sejak kali terakhir bencana sama berlaku pada tahun 2012.

Seorang penduduk, Mohd Sharif Apen, 63, berkata, rata-rata penduduk tidak bersedia dengan kejadian banjir kali ini yang dianggap luar biasa.

Menurutnya, penduduk terkejut apabila paras air mencecah 1.2 meter menyebabkan beberapa barangan dan dokumen penting tidak sempat diselamatkan.

"Jiran saya memaklumkan, dia tidak sempat menyelamatkan beberapa barangan berharga yang rosak dan ditenggelami banjir.

"Malah, ada juga kenderaan terperangkap di dalam banjir yang mula melimpah ke jalan dan rumah penduduk dalam sekelip mata," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Sharif berkata, hujan berterusan sejak jam 5 petang Isnin mengakibatkan banjir kilat pada jam 8 malam Isnin.

Katanya, semasa kejadian dia berada di Ayer Keroh, Melaka dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Belacan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dihubungi isteri dan anak-anak memaklumkan air dari Sungai Ampang mula melimpah keluar di jalan dan rumah penduduk.

Beberapa barangan penduduk rosak dalam kejadian banjir kilat yang melanda Bukit Belacan pada Isnin. (gambar ihsan Facebook Mohd Sharif).
Beberapa barangan penduduk rosak dalam kejadian banjir kilat yang melanda Bukit Belacan pada Isnin. (gambar ihsan Facebook Mohd Sharif).

"Saya sekeluarga bernasib baik apabila barangan berharga sempat diselamatkan dengan bantuan isteri, anak dan rakannya serta biras yang bertungkus-lumus membantu memindahkan barang ke tempat selamat," ujarnya.

Katanya, penduduk diulit resah apabila banjir itu turut membawa kesan lumpur dan selut memenuhi jalan dan lantai rumah penduduk.

"Kesan lumpur ini bukan sahaja susah untuk dibersihkan, malah ia mengundang bau busuk dan meloyakan tekak," jelasnya.

Dakwa beliau, kejadian banjir kilat membawa kesan lumpur itu dipercayai berlaku berikutan kerja-kerja pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran.

"Kita minta ada jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini dan berharap tidak kembali berulang pada masa akan datang," ujarnya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat berikutan hujan berterusan lebih satu jam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kawasan terlibat ialah di Taman Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Lembah Jaya Selatan di sini.